KUANTAN (Pahang): Kerajaan Pahang menggesa syarikat telekomunikasi supaya lebih serius dan proaktif menyelesaikan isu gangguan capaian rangkaian yang berlaku di beberapa kampung dalam daerah Raub.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Encik Fadzli Mohamad Kamal, berkata gangguan talian komunikasi di Kampung Pamah Kulat, Kampung Pamah Rawas dan Kampung Peruas telah menyusahkan penduduk kampung, peniaga serta pelancong yang bercuti di kawasan Ulu Dong.
“Saya meninjau menara telekomunikasi di Kampung Pamah Kulat, Kampung Pamah Rawas dan Kampung Peruas. Gangguan capaian ini sudah berlarutan selama tiga hari dan keadaan ini menyukarkan banyak pihak,” katanya ketika lawatan ke kawasan terlibat pada 9 November.
Menurut beliau, aduan berkaitan gangguan talian komunikasi semakin meningkat dan mengambil masa terlalu lama untuk diselesaikan, sedangkan syarikat telekomunikasi sebelum ini telah menyatakan komitmen untuk menambah baik mutu perkhidmatan dalam sesi libat urus bersama Kerajaan Negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada September.
Tambahnya, beliau juga turut berdukacita selepas melihat sendiri keadaan menara telekomunikasi di tiga lokasi berkenaan yang dilihat berada dalam keadaan terbiar.
“Saya mohon syarikat telekomunikasi memberi perhatian serius kerana capaian komunikasi yang stabil kini menjadi keperluan asas bagi rakyat,” katanya.
Terdahulu, pada 8 September, Encik Fadzli berkata sesi libat urus bersama semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi, penyiaran, pos dan kurier telah diadakan bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung liputan rangkaian, mutu perkhidmatan dan aduan pengguna, selain mendengar cadangan penambahbaikan daripada pemegang taruh.
Kerajaan Pahang komited menyelaras tindakan bersama penyedia perkhidmatan bagi meningkatkan mutu komunikasi dan multimedia di seluruh negeri.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg