KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengurusan tertinggi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada petang 25 Ogos.
Difahamkan, penahanan itu mempunyai kaitan dengan perolehan bagi satu projek berkaitan teknologi maklumat (IT).
Pegawai kanan berusia lingkungan 50-an tahun yang berada dalam kalangan lima teratas pengurusan DBKL itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, ketika hadir memberi keterangan pada 25 Ogos.
Selain pegawai kanan itu, turut ditahan susulan kes sama ialah dua orang awam yang dipercayai kontraktor bagi projek terbabit.
Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin, mengesahkan tangkapan tiga individu itu.
“Saya sahkan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009,” katanya tanpa mengulas lanjut, lapor Berita Harian Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, satu sumber berkata dua yang lain yang ditahan ialah seorang pemilik syarikat dan seorang orang awam kerana disyaki terbabit rasuah sejak 2014.
“Dua suspek yang juga pemilik syarikat dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an tahun masing-masing ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan Pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberi keterangan sekitar 1 hingga 2 petang pada 25 Ogos,” katanya.
Sumber berkata ketiga-tiga suspek dipercayai terbabit rasuah sejak 2014, yang mana suspek berjawatan pemilik syarikat itu dipercayai membayar rasuah kepada pegawai kanan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan sebagai imbalan bagi membantu mendapatkan projek di agensi itu.
“Susulan tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek, SPRM turut menyita wang tunai sekitar RM150,000 ($45,713), empat peranti telekomunikasi, dua unit kenderaan jenis Lexus RX500h serta Mini Cooper, beg tangan serta kasut berjenama Hermes dan Louis Vuitton.
“SPRM juga membekukan 19 akaun bank milik individu serta syarikat membabitkan nilai lebih RM7 juta,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg