KUALA LUMPUR: Ahli politik Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sah bergelar suami kepada penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, pada 10 Oktober, selepas pasangan itu melangsungkan majlis akad nikah di Aras 118 Menara Merdeka Maybank di Kuala Lumpur.

Syed Saddiq, 34 tahun, dan Bella, 32 tahun, yang nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, sah dinikahkan pada 10.40 pagi oleh mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Encik Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Bella menerima mas kahwin sebanyak RM500 ($156) dan tujuh dulang hantaran daripada pihak pengantin lelaki, berbalas sembilan dulang hantaran daripada pihak pengantin perempuan.

Hantaran Syed Saddiq termasuk simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bernilai RM100,000 menerusi i-Simpan serta pakej umrah.

Majlis itu disiarkan secara langsung di televisyen dan platform media sosial Astro.

Sekitar 250 ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat rapat menghadiri majlis yang berlangsung secara sederhana itu.

Antara tetamu ialah isteri kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Cik Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri; mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; serta mantan Menteri Kesihatan, Encik Khairy Jamaluddin.

Menteri Kesihatan Singapura, Encik Ong Ye Kung (berdiri, kanan), dan mantan Menteri Ehwal Luar Singapura, Encik George Yeo (kedua dari kiri), turut menghadiri majlis akad nikah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah.
Menteri Kesihatan Singapura, Encik Ong Ye Kung (berdiri, kanan), dan mantan Menteri Ehwal Luar Singapura, Encik George Yeo (kedua dari kiri), turut menghadiri majlis akad nikah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah. - Foto TANGKAP LAYAR YOUTUBE ASTRO GEMPAK

Turut hadir ialah Menteri Kesihatan Singapura, Encik Ong Ye Kung; mantan Menteri Ehwal Luar, Encik George Yeo; dan Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh.

Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh (berbaju hijau), dan isterinya turut menghadiri majlis akad nikah itu.
Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh (berbaju hijau), dan isterinya turut menghadiri majlis akad nikah itu. - Foto TANGKAP LAYAR YOUTUBE ASTRO GEMPAK

Dalam siaran langsung itu, Syed Saddiq, melahirkan kesyukuran selepas sah bergelar suami, sambil mengakui gementar ketika akad nikah.

“Berdebat tiada masalah, bercakap di Parlimen pun tiada masalah, tetapi tadi saya gementar. Lutut dan tangan saya menggigil, tetapi alhamdulillah, sebaik sahaja kami sah bergelar suami isteri, semuanya selesai,” katanya.

Bella pula bersyukur majlis berjalan lancar dan berterima kasih kepada semua yang menyokong serta mendoakan mereka.

“Saya benar-benar berbesar hati dan bersyukur kepada Allah kerana semuanya berjalan.

“Terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan kami, menyokong saya dan Yang Berhormat (YB) Syed Saddiq, serta terus mendoakan kami hingga ke hari ini. Kami benar-benar menghargainya, alhamdulillah,” katanya.

Syed Saddiq turut menghargai doa dan sokongan orang ramai sepanjang hubungan mereka, yang telah mengharungi pelbagai cabaran sebelum disatukan sebagai suami isteri.

“Daripada rakan sekerja kepada pasangan hidup. Alhamdulillah,” katanya.

Pasangan itu bertunang pada 28 Mac, menarik perhatian peminat yang mengikuti perkembangan mereka.

Menjelang perkahwinan, mereka berkongsi persiapan menuju hari bahagia di media sosial, termasuk video praperkahwinan yang menarik perhatian pengguna serta menerima ucapan dan doa peminat menerusi tanda pagar seperti #BellaSyedYes dan #BASS.

Pasangan itu dijadual mengadakan majlis resepsi perkahwinan di Kuala Lumpur pada 18 Oktober, diikuti majlis meraikan perkahwinan bersama orang ramai di Muar, Johor, pada 25 Oktober dan di Kota Kinabalu, Sabah, pada 31 Oktober.

Bella sebelum ini pernah berkahwin dengan penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz.

Mereka dikurniakan dua anak yang berusia sembilan dan enam tahun. – Agensi berita.