Syed Saddiq dibenar rayu keputusan kerajaan henti dana Parlimen Muar
Syed Saddiq dibenar rayu keputusan kerajaan henti dana Parlimen Muar
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan Ahli Parlimen Muar (Johor), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan tiga pihak dalam usaha mengembalikan semakan kehakiman untuk membatalkan keputusan kerajaan yang memberhentikan peruntukan dana RM730,300 ($235,741) kepada Parlimen Muar.
Perkara itu ditentukan menyusuli keputusan sebulat suara panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Nordin Hassan yang membenarkan permohonan Syed Saddiq dan tiga pengundi kawasan itu untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak memihak kepada mereka.
Di Mahkamah Rayuan, Syed Saddiq bersama-sama Encik Najib Abu Nawar; Encik Mohd Bakirudin Abdullah dan Encik Muhamad Fadzly Bisri, gagal mengembalikan semakan kehakiman ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran, lapor MalaysiaGazette.
Pada 27 Oktober 2025, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hashim Hamzah bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa semakan kehakiman yang difailkan perayu pada 23 April 2024 adalah jelas di luar tempoh masa yang ditetapkan.
Pada prosiding 10 Mac, Hakim Nordin yang bersidang bersama-sama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Collin Lawrence Sequerah, membenarkan keempat-empatnya mengemukakan tiga persoalan undang-undang berkepentingan awam yang akan dikemukakan dalam rayuan yang akan ditetapkan pada satu tarikh lain.
Mahkamah berpuas hati, ketiga-tiga persoalan undang-undang itu melepasi tahap ujian di bawah peruntukan Seksyen 96 Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman (CoJA) 1964, yang membolehkan kebenaran merayu diberikan.
Persoalan tersebut, antaranya, menyatakan jika peruntukan bagi kawasan Parlimen kepada Ahli Parlimen telah ditarik balik atau dinafikan, adakah keputusan tersebut tertakluk kepada semakan kehakiman atas dasar pelanggaran hak kesaksamaan yang dijamin di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan, pelanggaran doktrin pengasingan kuasa dan/atau mala fide?
Sementara itu, Syed Saddiq tidak kisah diperlekeh dan ditertawakan ketika melakukan kerja-kerja sambilan demi mendapatkan dana untuk kebajikan penduduk Parlimen Muar, sebelum peruntukan untuk kawasan Parlimennya ditarik semula oleh kerajaan.
Ahli Parlimen itu berkata usahasama dengan hab fesyen terkemuka, Primavalet (PV), sebagai duta jenama pakaian, berjaya meraih sebanyak RM6 juta untuk disalurkan kepada penduduk kawasan tersebut.

