Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syor syarikat suami bekal makanan, SPRM tahan pengarah jabatan kerajaan P. Pinang

Aug 27, 2025 | 11:41 AM
Kes rasuah, SPRM, pengarah jabatan kerajaan P. Pinang ditahan
Pengarah sebuah jabatan kerajaan di Pulau Pinang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki salah guna jawatan dengan mengesyorkan syarikat suaminya untuk membekal makanan dan minuman bagi satu program pada 2017. - Foto hiasan NSTP

GEORGETOWN (Pulau Pinang): Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang pada 26 Ogos menahan seorang pengarah jabatan kerajaan kerana disyaki menyalahgunakan jawatan dengan mengesyorkan syarikat suaminya bagi pembekalan makanan dan minuman untuk satu program pada 2017.

Menurut sumber SPRM, suspek wanita berusia lingkungan 50-an tahun itu ditahan kira-kira 11 pagi di Pejabat SPRM Pulau Pinang, ketika hadir memberi keterangan.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek sebelum ini dipercayai telah menyalahgunakan jawatan ketika berkhidmat sebagai pegawai di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

“Suspek dipercayai telah menyalahgunakan kuasa dengan mengesyorkan syarikat milik suaminya diberi kontrak pembekalan makanan serta minuman bernilai hampir RM4,000 ($1,217),” katanya, lapor Harian Metro.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S Karunanithy, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, Pulau Pinang, pada 28 Ogos.

Dalam perkembangan berkaitan, tiga individu termasuk seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang ditahan kerana terbabit dalam kegiatan rasuah dipercayai sejak 2014, direman empat hari sehingga 29 Ogos ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata permohonan reman itu dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Media Malaysia sebelum ini melaporkan SPRM mengesahkan tiga individu termasuk seorang pegawai Top 5 (lima tertinggi) DBKL ditahan kerana terbabit rasuah dipercayai sejak 11 tahun lalu.

Tan Sri Azam berkata setakat ini seramai 15 saksi sudah dikenal pasti untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes penyelewengan perolehan bagi sebuah projek berkaitan teknologi maklumat (IT).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg