Tabung Kasih Johor–Palestin berjaya mengumpul sebanyak RM2.5 juta ($760,000) pada tahun 2025 untuk disalurkan kepada rakyat Palestin yang terus menderita akibat kezaliman berpanjangan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata sumbangan tersebut melambangkan solidariti berterusan Bangsa Johor terhadap nasib rakyat Palestin, terutama di Gaza, yang telah menyaksikan lebih 60,000 korban jiwa, majoritinya wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.
“Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, turut menyumbang kurniaan peribadi, selain penyaluran bantuan melalui Tabung Kasih Johor-Palestin.
“Syukur alhamdulillah, dana ini akan digunakan bagi membantu saudara kita di Palestin yang sedang berjuang mempertahankan tanah air mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada 8 September.
Terdahulu, Tunku Mahkota Ismail berangkat menunaikan solat Maghrib dan solat hajat berjemaah bersama pasukan bola sepak Harimau Malaysia serta pasukan bola sepak kebangsaan Palestin di Masjid Sultan Abu Bakar, di Johor Bahru pada 7 September.
Datuk Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada seluruh penyumbang yang menjayakan usaha berkenaan dan menyeru rakyat terus berdoa agar Palestin sentiasa dilindungi serta dikurniakan kemenangan.
“Sejak Program Solidariti Bangsa Johor bersama Palestin pada November 2023, diikuti kutipan pada Julai 2024 dan September 2025, Tabung Kasih Johor-Palestin telah berjaya mengumpul keseluruhan RM7.5 juta.
“Ini bukti kasih sayang dan keprihatinan Bangsa Johor yang tidak pernah putus terhadap Palestin,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa doa dan sokongan padu dari rakyat Johor adalah tanda kebersamaan yang tidak akan luntur, dengan keyakinan bahawa Palestin akhirnya akan memperoleh kemerdekaan yang hakiki.
Terdahulu, pada 24 Ogos, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan dana RM100 juta bagi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang semakin menderita akibat kekejaman rejim Zionis.
Perdana Menteri berkata dana itu tambahan kepada bantuan RM100 juta yang diberikan Kerajaan Madani pada 2023, yang kemudian turut disumbang syarikat dan rakyat negara ini.
Datuk Anwar menegaskan bantuan tambahan itu amat diperlukan rakyat Palestin berikutan bekalan makanan dan perubatan yang dihantar sebelum ini tidak sampai kepada mereka, akibat sekatan dan kekejaman Israel.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg