Topik diikuti
Pergi ke BHkuTahanan Pakistan lolos di Selangor jaya diberkas semula selepas 10 hari
Tahanan Pakistan lolos di Selangor jaya diberkas semula selepas 10 hari
Tahanan Pakistan lolos di Selangor jaya diberkas semula selepas 10 hari
KUALA LUMPUR: Banduan warga Pakistan yang meloloskan diri daripada tahanan polis di Selangor pada 9 April lalu telah berjaya diberkas semula pada 18 April, selepas hampir 10 hari bersembunyi termasuk di kawasan hutan di Batu 14, Jalan Gombak Lama, Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, mengesahkan suspek tersebut ditangkap semula pada kira-kira 5 petang, hasil tindakan serta kerjasama pelbagai pihak.
Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata suspek itu mengaku bersembunyi selama tujuh hari di kawasan hutan berhampiran sebuah tapak pembinaan sepanjang tempoh dia meloloskan diri.
Beliau berkata pada waktu siang, suspek itu bersembunyi di dalam hutan di sekitar kawasan tapak pembinaan itu, manakala pada waktu malam, dia menyelinap masuk ke tapak pembinaan itu untuk berlindung dan bermalam kerana terdapat risiko keselamatan serta ancaman binatang buas.
“Bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, suspek turut memakai pakaian yang dicuri dari kawasan pembinaan,” katanya dalam satu kenyataan pada 19 April, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Zakaria berkata tangkapan itu dibuat pada 5 petang oleh sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), hasil risikan selama enam hari serta perkongsian maklumat daripada Kedutaan Pakistan.
“Pasukan operasi berjaya mengesan suspek di KM 24, Batu 14, Jalan Gombak Lama, sebelum menahannya selepas dia gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Suspek cuba melarikan diri ketika tangkapan dilakukan, namun tindakan itu berjaya digagalkan pasukan operasi,” katanya.
Beliau berkata semakan mendapati suspek itu tiba di Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11 Januari 2025 dan diberikan Pas Lawatan Sosial selama 30 hari.
Lelaki itu dilaporkan menghadapi beberapa pertuduhan termasuk bagi kes serangan seksual terhadap kanak-kanak, seks luar tabii, samun dan kesalahan berkaitan imigresen.
Datuk Zakaria menegaskan, pihaknya akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi mengesan, menangkap, mendakwa serta mengusir warga asing yang melanggar undang undang negara itu mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan Peraturan Imigresen 1963.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak melindungi atau menggaji warga asing tanpa dokumen sah kerana tindakan tegas boleh diambil di bawah undang-undang sedia ada.
Pada hari kejadian, suspek itu yang juga merupakan tahanan reman, dikatakan baru selesai menjalani prosiding perbicaraan di Kompleks Mahkamah Shah Alam, Selangor, berkaitan kes seksual terhadap kanak-kanak, rompakan dan kesalahan imigresen.
