Topik diikuti
Pergi ke BHkuTahun Melawat Johor dilanjut hingga 2027, produk pelancongan diperkukuh
Tahun Melawat Johor dilanjut hingga 2027, produk pelancongan diperkukuh
JOHOR BAHRU: Kempen Tahun Melawat Johor dilanjutkan hingga 2027 bagi meneruskan promosi dan pemasaran, memperluas pasaran serta memanfaatkan pengoperasian Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura pada tahun hadapan.
Tourism Johor berkata pelanjutan itu seiring dengan usaha menaik taraf produk pelancongan dan membangunkan tarikan baharu bagi meningkatkan pengalaman pengunjung.
Menurut agensi tersebut, pembangunan produk baharu melibatkan Pusat Rekreasi Sungai Lebam di Pengerang, Pusat Kebudayaan Pengerang, kemudahan di Taman Negara Gunung Ledang dan Galeri Askar Timbalan Setia Negeri Johor mempunyai nilai keseluruhan kira-kira RM37.2 juta ($11.6 juta).
“Seiring dengan perkembangan positif sektor pelancongan, kempen Tahun Melawat Johor dilanjutkan hingga 2027 bagi meneruskan momentum promosi dan pemasaran, memperluas pasaran serta memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi pilihan pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada 26 Oktober.
Perkara itu diketengahkan dalam sesi dialog Tahun Melawat Johor 2026 yang dirasmikan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, di Hotel Sheraton Johor Bahru.
Tourism Johor berkata antara daya tarikan yang diberi perhatian dalam usaha peningkatan produk pelancongan adalah Zoo Johor dan Night Zoo, Danga Park, Hutan Bandar, Tasik Merdeka, Muzium Tokoh Johor serta Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar.
Pengoperasian RTS Link pula dijangka memudahkan pergerakan rentas sempadan dan membuka peluang lebih luas untuk menarik pelancong dari Singapura serta pasaran antarabangsa.
Menurut agensi itu, sasaran asal Tahun Melawat Johor 2026 ialah 12 juta pelancong menginap, dengan jangkaan kesan ekonomi melebihi RM42 bilion.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor, Encik P. Pannir Selvam, berkata Johor merekodkan 19.7 juta kemasukan pelawat antarabangsa antara Januari dengan September 2026.
Beliau menekankan bahawa tumpuan negeri perlu melangkaui peningkatan jumlah kedatangan.
“Kita mahu mereka tinggal lebih lama, meneroka lebih banyak daerah dan berbelanja dalam ekonomi tempatan, supaya manfaat sektor pelancongan benar-benar dapat dirasai oleh rakyat dan pemain industri,” katanya dalam kenyataan pada 26 Oktober.
Menurutnya, pelanjutan kempen memberi ruang untuk memperkukuh produk pelancongan serta memanfaatkan perkembangan besar seperti RTS Link.
Beliau turut melihat peluang mengetengahkan seni, budaya dan warisan Bangsa Johor sebagai sebahagian daripada pengalaman pelancongan negeri.
“Dengan tambahan masa menuju 2027, kita perlu gunakan ruang ini sebaiknya; perkemas apa yang masih kurang, tingkatkan apa yang sudah baik dan pastikan Johor benar-benar bersedia menerima dunia,” katanya.