JOHOR BAHRU: Kira-kira 7,000 peserta memeriahkan Keretapi Sarong Johor Bahru (KSJB) 2026 dengan mengenakan sarong dan pakaian tradisional dalam acara yang mengangkat warisan, perpaduan serta kepelbagaian budaya rakyat Malaysia.

Program sempena Hari Malaysia dan Tahun Melawat Johor 2026 itu bermula dengan perjalanan kereta api dari Stesen KTM Kulai melalui Kempas Baru sebelum tiba di JB Sentral.

Peserta kemudian menyertai perarakan melalui Jalan Sungai Segget menuju ke Bukit Timbalan dan berakhir di pentas utama di mercu tanda Kilometer Sifar Johor Bahru.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor, Encik P. Pannir Selvam, berkata kemeriahan acara itu dapat dilihat apabila rakyat daripada pelbagai latar belakang bersama-sama mengenakan sarong, menaiki kereta api dan meraikan warisan budaya negara.

Menurutnya, perjalanan melalui beberapa lokasi utama di pusat bandar turut memperlihatkan keindahan dan keunikan Johor Bahru sebagai destinasi yang kaya dengan sejarah, budaya serta pengalaman pelancongan.

Peserta turut diberikan peluang memasuki Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan dan merakam kenangan di bangunan bersejarah berkenaan.

Bangunan ikonik yang dibina pada 1936 dan siap pada 1940 itu menjadi saksi kepada perkembangan pentadbiran Johor sejak zaman sebelum Perang Dunia Kedua, pendudukan Jepun hingga era moden.