Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sokongan tersedia bagi syarikat S’pura labur di JS-SEZ

Feb 5, 2025 | 7:22 PM
Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan, berkata setakat ini, terdapat banyak syarikat yang berpusat di Singapura sudah menjalankan operasi gabungan di Singapura dan Johor.
Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan, berkata setakat ini, terdapat banyak syarikat yang berpusat di Singapura sudah menjalankan operasi gabungan di Singapura dan Johor. - Foto MDDI

Syarikat Singapura yang layak melabur di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) boleh mendapatkan sokongan melalui skim seperti Geran Bantuan Kesediaan Pasaran (MRA) dan Skim Pembiayaan Perusahaan (EFS) yang dikendalikan oleh Enterprise Singapore, jelas Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan.

Menurutnya, ia merupakan antara usaha Singapura dalam menyokong perniagaan di Singapura melalui skim sokongan perusahaan sedia ada.

Beliau berkata demikian di Parlimen pada 5 Februari apabila ditanya Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh) mengenai skim insentif pemerintah yang boleh diberikan kepada syarikat Singapura yang melabur di JS-SEZ.

Encik Tan menambah Malaysia juga telah mengumumkan pakej insentif untuk JS-SEZ, termasuk kadar khas cukai korporat dan pendapatan bagi pelaburan yang layak.

Pada majlis pemeteraian perjanjian JS-SEZ pada Januari, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyatakan harapan agar zon baru itu dapat mewujudkan 20,000 pekerjaan berkemahiran untuk rakyat di kedua-dua belah Tambak.

Zon tersebut juga akan menyokong pengembangan 50 projek dalam lima tahun pertama dan sebanyak 100 projek dalam dekad pertama.

Di Parlimen, Encik Tan berkata:

“JS-SEZ bertujuan memanfaatkan kekuatan saling melengkapi Singapura dan Johor bagi mengukuhkan daya saing Singapura serta mewujudkan pekerjaan bermutu untuk rakyat Singapura.

“Perniagaan merentasi pelbagai sektor, termasuk pembuatan, logistik dan ekonomi digital, boleh mendapat manfaat daripada aliran rentas sempadan barangan dan pergerakan orang yang lebih lancar, serta kemudahan menjalankan perniagaan di JS-SEZ,” ujar beliau.

Pada 8 Januari, Malaysia mengumumkan beberapa insentif cukai untuk JS-SEZ yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025.

Langkah-langkah tersebut merangkumi kadar khas cukai korporat sebanyak 5 peratus sehingga 15 tahun, yang bertujuan menarik pelaburan bernilai tinggi dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), rantaian bekalan pengkomputeran kuantum, atau ‘quantum computing’, peranti perubatan dan pembuatan aeroangkasa.

Encik Tan berkongsi setakat ini terdapat banyak syarikat yang berpusat di Singapura sudah menjalankan operasi gabungan di Singapura dan Johor.

“Syarikat boleh memanfaatkan sumber di Johor dengan menempatkan sebahagian operasi mereka di sana, sementara ibu pejabat dan fungsi penyelidikan kekal di Singapura, dengan kita mempunyai kelebihan,” jelasnya, yang menambah menerusi perbincangan pemerintah dengan syarikat Singapura di sana, mereka berhasrat untuk menjalankan operasi di kedua-dua lokasi.

Encik Tan menambah dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin tidak menentu, Singapura perlu lebih inovatif dan meningkatkan daya saingnya.

“Jika JS-SEZ berjalan dengan baik, ia mampu memberikan Singapura ‘kelebihan daya saing tambahan’.

“Pertama, ia memberi kita peluang dan dorongan untuk membina atas kekuatan yang telah kita miliki, tetapi pada masa yang sama, ia juga mendorong kita untuk memperkukuh apa yang sudah ada agar kita terus mengekalkan kelebihan daya saing.

“Kedua, SEZ juga memberi kita peluang untuk memanfaatkan kekuatan Johor bagi mengatasi kelemahan (Singapura) sedia ada… antaranya tanah kita, tenaga kerja kita dan sumber asli kita,” tambah Encik Tan.

“Perniagaan merentasi pelbagai sektor, termasuk pembuatan, logistik dan ekonomi digital, boleh mendapat manfaat daripada aliran rentas sempadan barangan dan pergerakan orang yang lebih lancar, serta kemudahan menjalankan perniagaan di JS-SEZ.” 
Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg