Tambah teksi rentas sempadan: Pemandu persoalkan isu pelaksanaan
Tambah teksi rentas sempadan: Pemandu persoalkan isu pelaksanaan
Pemandu gesa pihak berkuasa M’sia, S’pura teliti keperluan sebenar sebelum meluaskan operasi teksi rentas sempadan
Cadangan meningkatkan kuota teksi rentas sempadan antara Malaysia dengan Singapura daripada 200 kepada 500 buah bagi setiap negara membuka lembaran harapan baru buat pemandu teksi, namun pada masa yang sama menimbulkan persoalan besar tentang kesediaan pelaksanaannya di lapangan.
Di Terminal Larkin Sentral, nadi pergerakan teksi Singapura di Johor Bahru, kedengaran perbualan pemandu berlegar sekitar satu persoalan utama – adakah peningkatan kuota itu benar-benar mampu mengubah nasib mereka, atau sekadar menambah persaingan dalam ruang yang sudah sesak?
Seorang pemandu teksi tempatan, Encik K. Bala Ganapathy, 44 tahun, berkata tambahan kuota pada asasnya sesuatu yang baik kerana memberi lebih banyak peluang kepada teksi Malaysia menghantar penumpang terus ke destinasi akhir, termasuk ke rumah pelanggan.
Menurutnya, keupayaan menghantar dari pintu ke pintu penting bagi menarik semula penumpang yang selama ini memilih perkhidmatan kenderaan sewa persendirian.
Namun, beliau mengakui pemandu masih berhati-hati kerana banyak butiran pelaksanaan belum diperincikan sepenuhnya.
Pada ketika ini, kuota sedia ada sebanyak 200 masih diuji, dan kesan sebenar terhadap jumlah penumpang serta pendapatan harian belum dapat dinilai dengan jelas.
“Kalau ditambah terus sampai 500, kita risau penumpang tak cukup. Masa cuti sekolah atau perayaan memang sesak, tapi di luar tempoh musiman sebegini, keadaan berbeza. Lebih baik tambah sedikit demi sedikit,” katanya, ketika ditemui Berita Harian (BH).
Beliau turut menyuarakan kebimbangan tentang pembahagian kategori kenderaan, sama ada kenderaan premium, kenderaan pelbagai guna atau kenderaan biasa, serta kaedah operasi yang bakal diguna pakai.
Menurutnya, pemandu masih menunggu ketetapan muktamad berhubung peraturan beratur, tempahan dan kelayakan operasi.
Pandangan itu dikongsi seorang lagi pemandu tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Sulaiman, 36 tahun, yang berkata pemandu menyokong cadangan kuota 500 teksi secara prinsip, namun ingin melihat pelaksanaan ini dibuat secara berperingkat dan berdasarkan keadaan sebenar di lapangan.
Menurutnya, sekiranya kuota ditambah secara mendadak tanpa mengambil kira permintaan sebenar, pemandu akan menanggung risiko menunggu lama, menanggung kos operasi dan akhirnya menjejas pendapatan.
Keadaan itu, tambahnya, menjadi lebih mencabar selagi perkhidmatan kenderaan sewa persendirian masih beroperasi dan bersaing untuk mendapatkan penumpang.
“Kita bukan menolak, cuma mahu cuba dulu. Tambah 100, tengok keadaan. Kalau penumpang ramai, barulah tambah lagi,” katanya.
Masih perlu penambahbaikan
Pemandu Singapura, Encik Muhammad Mahmud, 59 tahun, pula berkata kuota 500 mungkin masih belum mencukupi sekiranya kerajaan Johor benar-benar mahu menyokong pertumbuhan perkhidmatan pelancongan rentas sempadan.
Menurutnya, cabaran terbesar pemandu Singapura ketika ini ialah ketiadaan sistem tempahan teksi di Johor.
Keadaan itu menyebabkan pemandu terpaksa beratur panjang di Terminal Larkin Sentral dan menunggu berjam-jam untuk mendapatkan penumpang pulang. Ada yang menunggu sehingga lima jam, bergantung kepada aliran penumpang dan kesesakan di sempadan.
“Kalau di Singapura, kita ada aplikasi tempahan. Di sini, ikut giliran. Kalau dapat penumpang awal, boleh balik cepat. Kalau tidak, kena tunggu lama. Pada usia begini, kesihatan fizikal dan mental juga penting,” katanya.
Beliau berkata kebanyakan pemandu Singapura hanya membuat satu atau dua perjalanan sehari kerana kesesakan lalu lintas di Tambak Johor, dan lebih memilih untuk pulang awal berbanding menunggu terlalu lama di terminal.
Seorang lagi pemandu Singapura yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Mohd Safwan, 51 tahun, pula mengingatkan peningkatan kuota perlu disertai perancangan kemudahan sokongan yang rapi.
Menurutnya, kawasan menunggu dan tempat letak kenderaan di sekitar Larkin sudah sedia sesak, malah pemandu terpaksa berkongsi ruang dengan kenderaan awam lain.
“Kalau tambah ratusan kenderaan lagi, di mana semua kereta ini hendak tunggu? Ada masa kereta masuk banyak, tapi penumpang perlu keluar sikit. Keadaan ini susah untuk pemandu,” katanya sambil menambah bahawa aliran keluar masuk yang tidak seimbang sering berlaku di luar musim cuti.
Beliau turut menekankan keperluan kemudahan sokongan seperti ruang menunggu yang mencukupi serta penyusunan aliran kenderaan yang lebih teratur sebelum sebarang penambahan kuota dilaksanakan.
Kesediaan untuk berbincang
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Sewa Persendirian Johor Selatan, Encik Muhammed Ashraff Kamal Batcha, merasakan kuota 500 teksi rentas sempadan masih kecil berbanding jumlah kenderaan sewa persendirian yang dianggarkan hampir 3,000 unit.
Menurutnya, kuota itu wajar dilihat sebagai peringkat permulaan, dengan ruang untuk penambahan pada masa depan, khususnya bagi kenderaan mewah yang mampu memenuhi keperluan pelancong berkumpulan dan urusan perniagaan.
“Kami bersedia mematuhi semua syarat yang ditetapkan, asalkan diberi peluang beroperasi secara sah. Soal lokasi mengambil dan menurunkan penumpang, kami serahkan kepada kerajaan untuk mencari kaedah terbaik,” katanya.
Beliau turut berharap kerajaan negeri Johor dapat mengadakan pertemuan dengan pemain industri bagi mendengar pandangan serta memberi penjelasan terkini, memandangkan sehingga kini perkara itu masih dalam perbincangan dan belum dimuktamadkan oleh kedua-dua negara.
Dari Singapura, wakil Persatuan Kenderaan Sewa Persendirian republik itu yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Azan, berkata pihaknya memantau rapat perkembangan kuota 500 tersebut.
Menurutnya, terdapat kemungkinan perubahan kadar tambang yang boleh memberi manfaat kepada pemandu.
Namun, beliau menegaskan isu usia pemandu teksi Singapura juga perlu diberi perhatian. Kebanyakan pemandu adalah warga emas yang lebih selesa memandu di Singapura, berbanding merentasi sempadan, dan mereka cenderung menunggu penumpang di lokasi tertentu sahaja.
Beliau turut melahirkan rasa terkilan apabila pemandu sering dilabel secara negatif, sedangkan selama berdekad-dekad lamanya mereka menyumbang kepada ekonomi dengan membawa pelancong ke destinasi pelancongan di kedua-dua negara.
“Permintaan sebenar adalah perkhidmatan lawatan, bukan sekadar turun naik penumpang. Pelancong mahu satu kenderaan dari awal sampai akhir perjalanan,” katanya sambil menambah banyak peluang pelancongan terlepas akibat kekangan peraturan.
Terdahulu, Malaysia dan Singapura bersetuju meningkatkan kuota teksi berlesen secara berperingkat daripada 200 kepada 500 bagi setiap negara.
Sebagai permulaan, setiap negara akan menambah 100 kenderaan, diutamakan kepada kenderaan lebih besar dan premium bagi memenuhi keperluan kumpulan pelancong dan urusan perniagaan.
Dalam kenyataan bersama, kedua-dua negara turut bersetuju membenarkan teksi rentas sempadan menurunkan penumpang di mana-mana lokasi di luar negara asal masing-masing bagi meningkatkan kemudahan kepada pelancong.
Bagi pemandu di lapangan, keputusan itu memberi sinar harapan, namun mereka berharap setiap langkah dilaksanakan secara berperingkat, teliti dan berasaskan realiti sebenar di sempadan agar niat memperbaiki perkhidmatan tidak bertukar menjadi beban baru kepada mereka yang bergantung sepenuhnya kepada stereng untuk mencari rezeki.

