Topik diikuti
Pergi ke BHkuTambang rasmi RTS Link dijangka diumum Jan 2027
Kadar sehala dan ulang-alik belum dimuktamadkan; Johor turut mohon projek Transit Aliran Autonomi Bertingkat diberi keutamaan
Tambang rasmi RTS Link dijangka diumum Jan 2027
ISKANDAR PUTERI: Tambang rasmi RTS Link Johor Bahru-Singapura dijangka diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia pada Januari 2027, menjelang permulaan perkhidmatan yang dijadualkan pada Februari 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata tambang sehala dan ulang-alik belum dimuktamadkan dan masih diteliti bersama pihak berkaitan, termasuk RTS Operations Pte Ltd (RTSO) serta kerajaan Malaysia dan Singapura.
“Kita berharap kadar yang diumumkan kelak mengambil kira kemampuan dan keperluan pengguna harian,” katanya, merujuk khususnya kepada pekerja yang berulang-alik setiap hari.
Beliau berkata demikian dalam Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor ke-16 pada 25 November.
Dalam usaha memperkukuh pengangkutan awam, kerajaan Johor turut memohon Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberikan keutamaan kepada projek Transit Aliran Autonomi Bertingkat (e-ART).
Encik Mohamad Fazli berkata perancangan awal sistem itu melibatkan jajaran Skudai dan Tebrau sepanjang kira-kira 36.19 kilometer dengan 22 stesen, tertakluk kepada pemuktamadan jajaran dan kelulusan pihak berkaitan.
Datuk Seri Anwar, ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober, mengumumkan persetujuan kerajaan untuk melaksanakan e-ART sebagai penyelesaian utama kesesakan lalu lintas di Johor Bahru.
Bagi menangani kesesakan jalan raya, Encik Mohamad Fazli berkata enam jajaran utama dikenal pasti untuk penambahbaikan secara berfasa.
Jajaran itu ialah Jalan Skudai, Jalan Tun Razak dan kawasan pusat perniagaan, Jalan Tebrau, Jalan Lingkaran Dalam, Persiaran Seri Alam-Jalan Seri Alam-Lebuh Raya Pasir Gudang serta Lebuh Raya Pontian-Skudai.
“Penambahbaikan yang dirancang merangkumi pelebaran jalan, pembinaan persimpangan bertingkat, susur baru dan laluan pilihan bagi meningkatkan keupayaan rangkaian jalan raya.
“Di sekitar Stesen RTS Bukit Chagar, perhatian turut diberikan kepada jejantas pejalan kaki, bas pengantara serta kemudahan mengambil dan menurunkan penumpang.
“Jalan Jim Quee pula akan diberi keutamaan sebagai laluan pengangkutan awam dengan mengehadkan kemasukan kenderaan persendirian bagi melancarkan pergerakan bas,” katanya.
Menurutnya, persediaan tersebut penting supaya pengguna mempunyai pilihan pengangkutan yang membolehkan mereka menyambung perjalanan dengan lebih mudah selepas menaiki RTS Link.