Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) menutup tirainya awal pagi tadi, dengan pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) kembali berkuasa dengan kemenangan besar.
Rakyat memberi mandat kukuh kepada Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam pilihan raya pertamanya sebagai Setiausaha Agung PAP, dan hampir setahun beliau mengambil alih tampuk kepimpinan daripada mantan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.
Pada masa yang sama, pengundi memberi isyarat tetap mahukan suara alternatif di Parlimen, dengan Parti Pekerja (WP) mengekalkan 10 kerusi dalam GE kali ini – GRC Aljunied, GRC Sengkang dan SMC Hougang (berdasarkan kiraan sampel).
Keputusan itu mencerminkan suara rakyat yang membuat pilihan setelah mendengar laungan kempen oleh 11 parti politik, di samping dua calon bebas, sepanjang kempen sembilan hari.
PAP berkempen atas mesej pentingnya mempunyai pasukan kukuh untuk mengemudi Singapura mengharungi cabaran di tengah-tengah ketidaktentuan global.
WP pula memperjuangkan Parlimen yang lebih seimbang, dengan kehadiran lebih banyak suara alternatif untuk memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif.
Parti pembangkang lain seperti Parti Kemajuan Singapura (PSP) dan Parti Demokratik Singapura (SDP) pula mengetengahkan pelbagai isu seperti kos sara hidup, kemampuan membeli rumah, serta kos penjagaan kesihatan.
Calon parti pemerintah dan pembangkang berbalas hujah dalam beberapa isu hangat seperti apakah Singapura mampu kehilangan menteri jika mereka tewas dalam pilihan raya, dan apakah yang dimaksudkan dengan ‘politik negatif’.
Bagi masyarakat Melayu, satu perkara yang timbul adalah peranan Anggota Parlimen (AP) Melayu dalam memperjuangkan kepentingan dan mengetengahkan suara masyarakat.
Namun, ada juga isu timbul yang mendapat persetujuan tidak kira parti politik.
Rata-ratanya kesemua parti politik sebulat suara menolak campur tangan warga asing dalam politik domestik, serta campur aduk agama dan politik.
Ini merupakan petanda baik bagi Singapura, sedang negara lain terjejas dengan politik yang memecahbelahkan, termasuk politik identiti.
Politik identiti melibatkan ahli politik yang cuba mendapatkan sokongan penduduk atas dasar kaum atau agama.
Sebagai sebuah negara kecil, Singapura tidak mampu dilemahkan oleh anasir seperti politik identiti atau campur tangan asing.
Setelah bahang pilihan raya kini mula reda, sewajarnya rakyat kembali bersatu padu, mengetepikan perbezaan dan memberi tumpuan kepada isu penting yang menjejas penduduk, lebih-lebih lagi di tengah-tengah ketidaktentuan global.
Antara cabaran yang dihadapi Singapura di peringkat global ialah tarif yang dikenakan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang dijangka meninggalkan kesan ke atas ekonomi global, termasuk ekonomi Singapura.
Apa yang dibimbangkan adalah kemungkinan Singapura mengalami kemelesetan ekonomi dan kehilangan pekerjaan.
Dalam pelbagai isu pula, perbezaan pendapat sesuatu perkara lumrah dan tidak dapat dielakkan, tetapi perlu ada tumpuan jelas dan keazaman politik untuk mencapai kata sepakat dan bertindak demi kepentingan Singapura.
Ini memerlukan pemimpin yang bertanggungjawab, cekap, serta berwawasan jauh dalam menjalankan tugas.
Dalam menangani keprihatinan dan suara rakyat yang semakin celik dan peka tentang isu politik dan dasar, pemimpin juga perlu memahami sentimen rakyat dan cekap dalam menyampaikan mesej untuk menambat hati dan minda mereka.
Selain menyuarakan keprihatinan mereka, rakyat yang terkesan dengan isu-isu tertentu juga boleh mempertimbangkan saluran untuk tampil bekerjasama dengan pemerintah demi mencari huraian
Akhirnya, kemenangan berada di pihak Singapura jika pihak pemerintah bekerjasama dengan rakyat demi kemaslahatan negara.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg