JOHOR BAHRU: Semua taman asuhan kanak-kanak (taska) di Johor terus beroperasi seperti biasa pada 12 hingga 16 Oktober, namun sebarang aktiviti luar hendaklah dihentikan bagi mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada udara tidak sihat.

Sebaliknya, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak ditutup sepanjang tempoh lima hari itu susulan keadaan jerebu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Cik Hasrunizah Hassan, berkata penjelasan tersebut dibuat berikutan pengumuman pelanjutan penutupan sekolah di seluruh negeri.

“Saya memahami bahawa sebarang perubahan operasi ini mungkin memberi kesan kepada urusan ibu bapa, penjaga, pengusaha taska serta keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas.

“Justeru, kerjasama, kefahaman dan pertimbangan semua pihak amat dihargai dalam memastikan kebajikan dan keselamatan kanak-kanak terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan pada 11 Oktober.

Beliau menyeru ibu bapa, penjaga dan pengusaha taska supaya memantau kesihatan kanak-kanak, memastikan pengambilan air mencukupi serta mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera sekiranya mereka mengalami batuk, sakit tekak, sesak nafas atau ketidakselesaan akibat jerebu.

Menurutnya, kerajaan negeri bersama agensi berkaitan akan terus memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), dengan sebarang perubahan operasi atau arahan lanjut dimaklumkan berdasarkan keadaan semasa dan nasihat pihak berkuasa.

Dalam perkembangan berkaitan, peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) 2026 bagi semua calon di 28 Sekolah Menengah Agama di Johor ditangguhkan susulan penutupan institusi pendidikan agama.

Menurut kenyataan rasmi Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), pada 11 Oktober, peperiksaan yang dijadualkan pada 12 hingga 16 Oktober dipinda kepada 19 hingga 23 Oktober.

Peperiksaan Sijil Menengah Rendah Agama (SMRA) daerah Batu Pahat yang ditangguhkan pada 7 Oktober pula dijadualkan semula pada 20 Oktober.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, berkata pelanjutan penutupan sekolah selama lima hari turut terpakai kepada institusi pendidikan agama di bawah bidang kuasa JAINJ.

Ia melibatkan Sekolah Agama Kerajaan Johor, Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor serta Institusi Pengajian Islam Swasta (Ipis) berdaftar.

“Sepanjang tempoh penutupan, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) hendaklah diteruskan mengikut arahan serta ketetapan JAINJ dan pihak berkuasa pendidikan yang berkaitan bagi memastikan kesinambungan pembelajaran murid tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan pada 10 Oktober.

Beliau berkata keputusan itu mengambil kira trend bacaan IPU sekitar 170 hingga 180 ketika penilaian dibuat, yang menunjukkan kualiti udara masih tidak sihat tanpa perubahan ketara.

Menurutnya, JAINJ akan terus memantau keadaan dan memaklumkan sebarang arahan pembukaan semula sekolah agama serta institusi pengajian Islam melalui saluran rasmi.

Semua pentadbir, guru, ibu bapa dan penjaga diminta mematuhi arahan yang dikeluarkan bagi melindungi keselamatan serta kesihatan murid dan warga pendidikan.