Topik diikuti
Pergi ke BHkuTragedi ibu 6 anak di Selangor maut selepas tudung terbelit mesin pintu air
SABAK BERNAM, Selangor: “Saya masih terkilan tak berpeluang jumpa isteri disebabkan kerja sebelah malam selama dua hari,” kata Encik Basar Maslan, 63 tahun.
Encik Basar, suami kepada kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabak Bernam, Allahyarhamha Cik Selaton Nuri, 55 tahun, yang meninggal dunia selepas tudungnya terbelit pada penggelek pintu air dalam kejadian berdekatan sebuah hotel, pada petang 15 Ogos.
Pintu air digunakan untuk mengawal aliran dan paras air dengan membuka atau menutup laluan air, termasuk ketika air pasang.
Pengawal keselamatan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam itu berkata beliau sedang tidur di rumah ketika menerima panggilan daripada menantunya mengenai kejadian itu.
“Menantu minta saya tengok isteri. Dalam keadaan baru terjaga dan kaki masih kebas, saya gagahkan diri memandu ke tempat kejadian. Sebaik tiba, saya naik ke pintu air dan melihat isteri sudah ‘tiada’.
“Tiada apa yang dapat dilakukan kecuali menunggu polis dan ambulans tiba,” katanya ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) di luar Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.
Encik Basar berkata isterinya ketika itu bertugas menutup pintu air ketika air pasang, ditemani anak kedua mereka.
“Pagi semalam, selepas balik kerja, saya telefon dan tanya dia di mana? Isteri kata sedang minum dengan anak sebelum ke pasar, melawat orang dan akhirnya ke pintu air.
“Selepas itu, saya beberapa kali menghubunginya, namun gagal. Tak sangka umurnya tidak panjang dan Allah swt lebih menyayanginya,” katanya.
Tambahnya, arwah yang sudah berkhidmat 21 tahun sebagai penjaga pintu air ada menyatakan hasrat untuk menunaikan haji dan hanya menunggu panggilan ke Tanah Suci.
“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan, memang tak ada langsung, seperti biasa apabila saya telefon, dia angkat. Arwah seorang yang baik, pemurah dan suka membantu. Dia tidak boleh tengok orang susah.
“Sebelum ini, dia bercadang untuk anjur kursus bikin roti di kilangnya di Parit 9, Sungai Besar, hanya tinggal untuk diusahakan sahaja, namun niatnya tidak kesampaian,” katanya.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Encik Md Yusof Ahmad, berkata kejadian yang dilaporkan pada sekitar 4 petang berlaku ketika mangsa bertugas menutup pintu air ketika air pasang.
“Kes disiasat sebagai mati mengejut,” katanya.
Sementara itu, anak lelaki Allahyarham, Encik Muhammad Hafiz Basar, 23 tahun, ketika dihubungi pada 16 Ogos berkata, jenazah ibunya dibawa dari HTAJ ke Hospital Sungai Buloh (HSB) pada sekitar 10.30 pagi bagi tujuan bedah siasat.
“Insya-Allah, selepas selesai (bedah siasat) jenazah akan dibawa ke Masjid Al-Mujahiddin, Pekan Bagan Terap untuk disolatkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bagan Terap selepas solat Isyak,” katanya.
Allahyarhamha meninggalkan seorang suami dan enam anak.
