KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan dua kes telah dikenal pasti di negara itu mempunyai kaitan dengan agensi perisikan asing, menyusuli kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai kemungkinan negara itu menjadi sasaran berikutan pendirian tegas terhadap isu Palestin.
Ketua Polis Malaysia, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata PDRM sentiasa bersedia dalam usaha mencegah dan menangani pelbagai ancaman luaran yang berpotensi menjejaskan keselamatan negara itu.
Perkara itu, katanya, termasuklah sebarang agenda yang dibawa agensi perisikan asing yang mungkin cuba campur tangan atau mengganggu-gugat kestabilan dan kedaulatan negara.
“Terdapat insiden yang dilaporkan dan disiasat oleh PDRM disyaki didalangi agensi perisikan asing.
“PDRM mengesan dua kes yang dilaporkan iaitu kes penculikan warga Palestin dan kes memiliki enam pucuk senjata api yang didalangi kumpulan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada 23 Julai, lapor Berita Harian Malaysia.
Tambahnya, pelbagai mekanisme sudah diambil PDRM bagi memantau kemasukan warga negara asing.
“Dalam usaha ini, PDRM menjalinkan kerjasama erat dengan Jabatan Imigresen, Agensi Kawalan Dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Polis Antarabangsa (Interpol).
“Kerjasama strategik juga dijalinkan bersama pelbagai agensi penguat kuasa di dalam dan luar negara,” katanya.
Mengulas lanjut, Datuk Mohd Khalid berkata PDRM turut memberi perhatian serius terhadap kawalan keselamatan warga asing yang tinggal lama di Malaysia, termasuk mereka yang bermastautin atau berada atas urusan pekerjaan seperti perunding asing.
“Dalam tindakan menjamin keselamatan warga Palestin yang menetap di Malaysia, mereka (warga Palestin) dinasihatkan agar mengamalkan gaya hidup berprofil rendah bagi mengelak menjadi sasaran terpilih, dan melaporkan kepada pihak polis sebarang perlakuan yang mencurigakan ke atas mereka.
“PDRM turut menjalin kerjasama strategik dengan agensi kerajaan yang terbabit dalam aspek keselamatan negara, melalui pertukaran maklumat dan pandangan secara berterusan di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Datuk Mohd Khalid turut menegaskan bahawa PDRM kekal komited dalam memastikan keselamatan Malaysia serta kesejahteraan rakyatnya sentiasa terpelihara.
Pada 22 Julai, Datuk Anwar dilaporkan berkata beliau tidak menolak kemungkinan pendirian Malaysia yang lantang mempertahankan Gaza menjadi punca Malaysia menjadi sasaran kehadiran ejen Mossad, agensi perisik Israel, selain penyeludupan senjata dan dadah.
Datuk Anwar berkata atas dasar itu, kerajaan sudah mengambil langkah tambahan termasuk melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengenal pasti tindakan terbabit dan meningkatkan keupayaan keselamatan negara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg