Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Teksi tanpa lesen, gangguan elektrik KLIA cemar imej M’sia

Aug 29, 2025 | 1:26 PM
Anthony Loke, teksi, pelancong malaysia
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke Siew Fook, berkata isu pemandu teksi tidak berlesen dan gangguan elektrik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencalar imej Malaysia dalam kalangan pelancong. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Masalah penipuan ‘ulat teksi’ (pemandu tidak berlesen) yang dianggap sebagai perbuatan khianat kepada negara, selain gangguan elektrik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menjejas integriti pengangkutan awam, mendapat teguran Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke.

Beliau mahu tindakan tegas diambil untuk menangani isu tersebut.

Encik Loke berkata dua kejadian itu mencalar imej Malaysia apatah lagi ia berlaku di pintu masuk utama ke negara tersebut yang menyambut kedatangan pelancong antarabangsa.

Menurutnya, kegiatan ‘ulat teksi’ di KLIA telah berlarutan selama belasan tahun tanpa penyelesaian tuntas.

Ia menyebabkan pelancong ditindas dengan bayaran berlebihan, sekali gus memberi pengalaman pertama yang buruk kepada mereka.

“Bayangkan pelancong datang dengan niat bergembira dan berbelanja di Malaysia, tetapi sebaik keluar dari lapangan terbang mereka ditipu ‘ulat teksi’, dibawa ke Kuala Lumpur dengan caj RM300 ($91.32) hingga RM400 sedangkan tambangnya tidak sampai RM100. 

“Jadi ini satu tindakan khianat kepada negara yang mesti kita banteras bersama-sama.

“Pihak berkuatkuasa perlu bertindak dengan tegas,” katanya pada majlis pelancaran program, Tap, Travel and Discover oleh gateway@klia2, di KLIA, pada 28 Ogos.

Encik Loke menegaskan bahawa pihak berkuasa, termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis, perlu mengambil tindakan tegas dengan menyita kenderaan ‘ulat teksi’ dan membawa pesalah ke mahkamah, bagi membanteras kegiatan haram itu. 

“Saya bukan nak halang orang cari makan, tapi cari makan dengan cara yang betul. Kalau nak jadi pemberi perkhidmatan pengangkutan, ambillah lesen, bukannya susah sangat. 

“Apa yang kita nak ialah semua orang cari makan dengan cara sah, ikut peraturan dan undang-undang negara supaya imej negara terjaga,” katanya.

Beliau berkata lapangan terbang adalah tempat pertama didatangi pelancong luar dan usaha kerajaan berbelanja jutaan ringgit untuk menarik pelancong hanya sia-sia jika masalah seumpamanya yang merosakkan imej negara tidak dinoktahkan segera. 

Selain itu, beliau turut mengkritik gangguan elektrik hampir 20 minit yang berlaku di KLIA Terminal 2, ketika hadir melancarkan program berkenaan.

“Dalam sektor pengangkutan awam, sebarang gangguan teknikal melebihi 15 minit dikategorikan sebagai gangguan besar. 

“Apa yang berlaku ini tidak boleh diterima sama sekali. Terminal gelap gelita, tangga bergerak tidak bergerak, sistem banyak yang tidak berfungsi dan imej negara di mata pelancong jadi taruhan.

“Sepatutnya sistem sokongan berfungsi, tetapi mengapa ia tidak aktif? Ini mesti dijawab,” tegasnya.

Beliau mengarahkan pengurusan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) dan gateway@klia2 menyiasat punca gangguan, menyediakan sistem sokongan yang berfungsi dan memastikan kejadian sebegitu tidak berulang.

Encik Loke turut menekankan kepentingan pengalaman pertama pelancong di lapangan terbang sebagai ciri penting bagi sektor pelancongan, yang menyumbang kepada ekonomi negara melalui perbelanjaan dalam negara dan peluang pekerjaan di pelbagai sektor.

Menurutnya, kedua-dua isu berkenaan tidak boleh diabaikan dan memerlukan tindakan segera bagi memastikan reputasi Malaysia sebagai destinasi pelancongan antarabangsa dan hab penerbangan serantau tidak terjejas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg