BATU PAHAT: Kerja memperkukuh lantai dan struktur ban Berong Laut di Rengit sedang dipergiat sebagai persediaan menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku pada awal September.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Encik Zaidi Japar, berkata tindakan segera diambil selepas berita kerosakan benteng tersebut tular di media sosial.

Menurut Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit itu, keadaan berkenaan menimbulkan kebimbangan penduduk yang khuatir hakisan akan menjadi lebih serius jika tidak ditangani segera.

“Sebaik sahaja menerima maklumat, pihak Adun Rengit bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta kontraktor turun ke lokasi untuk melakukan pemantauan dan melaksanakan kerja yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan pada 24 Ogos.

Encik Zaidi berkata kerja pengukuhan lantai dan struktur ban itu penting bagi meningkatkan daya tahan serta keselamatannya.

Ia juga mengurangkan risiko hakisan lebih serius pada masa hadapan.

Beliau tidak menolak kemungkinan kesan kerosakan atau hakisan masih boleh berlaku selepas air pasang besar pada awal September.

“Namun, keadaan itu dijangka tidak menjejas keseluruhan struktur ban kerana proses pengukuhan sedang dilaksanakan secara bertahap dan akan terus dipantau pihak berkaitan,” katanya.

Menurutnya, pihak Adun Rengit akan terus bekerjasama dengan JPS, kontraktor dan agensi berkaitan bagi menangani sebarang masalah yang boleh menjejas keselamatan serta kesejahteraan penduduk.

Pemantauan akan dipertingkat ketika fenomena air pasang besar berlaku bagi memastikan keadaan benteng Berong Laut kekal terkawal.

“Aduan dan maklumat daripada masyarakat akan terus diberi perhatian. Pemantauan tidak akan terhenti setakat ini.

“Kita akan melihat perkembangan dari semasa ke semasa, khususnya ketika menghadapi air pasang besar pada awal September, kerana keselamatan penduduk menjadi keutamaan,” katanya.

Encik Zaidi turut merakamkan penghargaan kepada JPS, kontraktor, dan penduduk yang menyalurkan maklumat serta membantu menjayakan kerja pembaikan itu.