Topik diikuti
Pergi ke BHkuTempat letak kereta pekerja kerja di S’pura di Larkin kini berpalang tapi caj tinggi jadi isu
Sistem bagi tangani masalah antara lain, kenderaan ditinggalkan oleh pekerja M’sia sepanjang hari sebelum naiki bas ke S’pura
Sistem tempat letak kereta berpalang di Jalan Geroda, Larkin, mungkin mengurangkan masalah kenderaan ditinggalkan sepanjang hari oleh rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, tetapi kini menimbulkan keluhan dalam kalangan pekerja dan peniaga di kawasan berkenaan.
Pekerja di premis tersebut mendakwa mereka perlu membayar antara RM9 ($2.83) dengan RM17 sehari, manakala pas bulanan bagi kereta berharga RM250.
Eksekutif media sosial kedai cermin mata Moo Eyewear, Cik Fatin Nuryusra Amna Hang Tuah, 22 tahun, berkata sebelum palang itu dipasang, banyak kenderaan dipercayai milik pekerja Malaysia di Singapura ditinggalkan di situ sehingga menyukarkan pelanggan mendapatkan tempat.
“Selepas palang dipasang, kereta seperti itu tidak lagi ditinggalkan di dalam kawasan ini. Namun, sebahagiannya hanya berpindah ke kawasan luar yang tidak mengenakan bayaran.
“Masalah mendapatkan tempat letak kereta masih berlaku pada waktu tertentu, tetapi sekarang pekerja perlu pula membayar tanpa sebarang pengecualian,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH).
Cik Fatin berkata beliau membayar antara RM9 dengan RM11 bagi sembilan jam bekerja, menjadikan perbelanjaannya melebihi RM200 sebulan.
Menurutnya, jumlah pelanggan yang datang terus ke kedai itu turut berkurang, meskipun beliau tidak dapat memastikan keadaan itu berpunca sepenuhnya daripada sistem berpalang itu.
Beliau telah menghantar surat kepada pejabat Anggota Dewan Undangan Negeri Larkin dan bercadang mengemukakan aduan kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
Ketua pasukan butik Khatam, Cik Nurfarhana Fazide, 33 tahun, pula berkata pekerja pernah dikenakan bayaran RM17 sehari, berbanding kira-kira RM12 pada hari biasa.
“Bagi pengunjung yang datang sebentar, bayarannya mungkin tidak begitu terasa. Namun, bagi pekerja yang berada di sini setiap hari, jumlahnya membebankan.
“Sistem ini membantu mengurangkan kereta yang ditinggalkan terlalu lama, tetapi pekerja premis pula menanggung kesannya.
“Pas bulanan RM250 bagi kereta juga masih berat untuk kami. Pekerja bermotosikal pula dimaklumkan perlu membayar RM100 sebulan apabila bayaran bagi motosikal dilaksanakan,” katanya.
Kesan limpahan turut dirasakan pemilik kedai jahitan Teluk Belanga, Encik Jamil Sukaimi, 60 tahun, yang berniaga kira-kira 50 meter dari kawasan berpalang itu.
“Selepas palang dipasang, saya melihat banyak kereta berpindah ke sini dan kekal di petak sama untuk tempoh lama.
“Pelanggan saya pula terpaksa berpusing dua atau tiga kali sebelum berputus asa kerana tidak mendapat tempat,” katanya.
Encik Jamil kini kadangkala menyerahkan pakaian tempahan terus kepada pelanggan di dalam kenderaan supaya mereka tidak perlu turun.
Sementara itu, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad, ketika dihubungi BH berkata MBJB akan mengkaji semula aliran trafik dan isu berkaitan bayaran sistem tempat letak kereta berpalang di Jalan Geroda, Larkin.
Jelasnya, kajian itu akan mengambil kira kepentingan semua pihak bagi mencari penyelesaian yang seimbang.
Bagaimanapun, beliau mempertahankan kadar bayaran yang dikenakan dengan menyifatkannya sebagai berpatutan dan diperlukan bagi mengelakkan kenderaan ditinggalkan terlalu lama.
“Bayaran tempat letak kereta itu tidak terlalu mahal. Kita perlu mencari keseimbangan.
“Jika terlalu murah, orang akan meletakkan kenderaan terlalu lama sehingga mereka yang mahu membeli barang atau berurusan di kedai tidak mempunyai tempat,” katanya.
Beliau berkata sistem berbayar itu diperkenalkan bagi menyelesaikan masalah petak dikuasai golongan tertentu, termasuk pemilik yang meninggalkan kenderaan mereka sebelum menaiki bas ke Singapura.
Keadaan tersebut sebelum ini menyebabkan pelanggan bank dan premis perniagaan sukar mendapatkan tempat letak kereta.
Datuk Mohd Haffiz berkata semua perkara tersebut akan diteliti sebelum sebarang langkah susulan diputuskan.
Dalam usaha menangani kekurangan petak di kawasan Larkin, MBJB turut merancang membina dua kompleks tempat letak kereta.
Kompleks tersebut akan dibangunkan di Dataran Larkin dan Dataran Larkin Perdana.
