Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tengkujuh: Peniaga di Johor terkesan, jualan merosot teruk

Nov 28, 2024 | 2:42 PM
Peniaga di Bazar Karat Johor Bahru, Johor, berdepan kerugian kerana tidak dapat berniaga sepanjang musim tengkujuh ini.
Peniaga di Bazar Karat Johor Bahru, Johor, berdepan kerugian kerana tidak dapat berniaga sepanjang musim tengkujuh ini. - Foto MAJLIS BANDARAYA JOHOR BAHRU

JOHOR BAHRU: Musim hujan dan tengkujuh yang melanda Johor sejak 26 November telah menjejas ramai peniaga, yang kini berdepan kerugian.

Bazar Karat Johor Bahru umpamanya yang popular dalam kalangan pelancong asing dan warga tempatan, terjejas teruk berikutan keadaan cuaca yang kerap hujan dan berpanjangan, sekali gus menghalang kehadiran pengunjung.

Presiden Persatuan Pembangunan dan Kebajikan Bazar Karat Johor Bahru, Encik Fuad Rahmat, berkata bazar itu mempunyai lebih 200 gerai dengan pelbagai jualan seperti makanan dan minuman, pakaian, aksesori dan banyak lagi barangan menarik lain.

Bagaimanapun, hujan berpanjangan, selain banjir kilat di beberapa kawasan menjejas kehadiran pelancong.

“Lebih teruk apabila hujan datang bersama ribut dan angin kencang, menyebabkan pengunjung tidak ada tempat berteduh yang mencukupi kerana perniagaan dijalankan di tempat terbuka.

“Boleh dikatakan penurunan jualan peniaga merudum 50 peratus, bergantung kepada keadaan hujan. Jika hujan berterusan, selalunya peniaga hendak buka gerai pun tidak boleh,” katanya, lapor The Star.

Dengan keadaan cuaca semasa yang kerap hujan, beliau menasihatkan peniaga supaya sentiasa berwaspada terutama membabitkan soal keselamatan peniaga dan pengunjung.

Beliau juga melahirkan simpati kerana cuaca yang kerap hujan memberi risiko kepada peniaga apabila barangan jualan mudah rosak ketika cuaca buruk.

“Apa yang boleh dilakukan ialah kami menasihatkan peniaga supaya menutup gerai jika cuaca memburuk dan beralih ke platform jualan dalam talian yang kami sediakan, atau melalui saluran media sosial masing-masing,” tambahnya.

Pengerusi Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Kecil India Johor Bahru, Encik D Ravindran, berkata ahlinya yang beroperasi di pasar malam di lokasi utama sekitar Johor Bahru turut terjejas berikutan musim tengkujuh ketika ini.

“Hujan biasanya bermula lewat petang dan berterusan sehingga lewat malam. Ini memberi kesan kepada peniaga kami yang mula mengalami kerugian antara 40 peratus dengan 60 peratus.

“Cuaca buruk menyebabkan ramai daripada mereka terpaksa tutup operasi kerana pelanggan tidak datang,” katanya sambil menambah bahawa beliau menjangkakan cuaca akan terus memburuk sehingga Disember.

“Apa yang boleh kami lakukan sekarang ialah mengikuti laporan cuaca dengan teliti dan mematuhi arahan pihak berkuasa untuk sebarang kemungkinan demi memastikan keselamatan,” kata Encik Ravindran.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg