Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasar Geylang Serai tutup: Peniaga atur strategi, kewangan

Pelanggan alu-alukan kerja naik taraf selama tiga bulan, walau harus cari lokasi alternatifh
Jul 26, 2024 | 4:59 PM
Para peniaga dimaklumkan seawal dua tahun lebih awal, memberikan mereka masa yang mencukupi untuk menyediakan dan mencari pelbagai cara untuk menebus kehilangan pendapatan.
Para peniaga dimaklumkan seawal dua tahun lebih awal, memberikan mereka masa yang mencukupi untuk menyediakan dan mencari pelbagai cara untuk menebus kehilangan pendapatan. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Beberapa perniagaan di Pusat Makanan dan Pasar Geylang Serai telah membuat persiapan rapi untuk pastikan pendapatan mereka tidak terjejas teruk akibat penutupan pasar itu selama tiga bulan.

Malah, ada peniaga yang berhasrat berehat sepanjang tempoh itu.

Sesetengah peniaga yang ditemui Berita Harian berkata mereka ingin menumpukan perhatian kepada cawangan kedai di lokasi lain, dan tidak kurang pula mendedahkan mereka telah mengambil sikap lebih berhemat dalam mengatur perbelanjaan perniagaan sejak beberapa bulan lalu.

Bagi pelanggan, ada yang berkongsi bahawa mereka perlu mencari lokasi beli-belah alternatif semasa penutupan itu.

Peniaga di kawasan itu dimaklumkan oleh pihak berkuasa mengenai penutupan tersebut dua tahun lebih awal, sekali gus memberi mereka masa yang cukup untuk membuat persiapan.

Pusat Makanan dan Pasar Geylang Serai akan ditutup mulai 29 Julai hingga 31 Oktober bagi kerja naik taraf dan dibuka semula pada 1 November.

Pemilik gerai Pak Din Nasi Ayam Bakar, Encik Osman Sudin, 55 tahun, berkata beliau sudah membuat perancangan meskipun mempunyai cawangan gerai lain.

“Saya ada lagi satu gerai di Amoy St yang menjual air dan kuih-muih tetapi saya tidak boleh terlalu bergantung pada pendapatan di sana sepenuhnya bagi menutup kehilangan pendapatan buat tiga bulan akan datang. Oleh itu, saya pastikan sudah ada simpanan…” ujar beliau.

Berkongsi sentimen serupa, ialah Cik Subaidah Saibe, 61 tahun, yang mengurus gerai D’ Original Bumbu.

“Mereka (pihak berkuasa) sudah mengatakan bahawa pasar akan ditutup untuk tempoh yang agak lama. Disebabkan itu, saya mula berjimat dan mula membuat simpanan.

“Jadi, saya tidak begitu risau tentang kewangan saya untuk tiga bulan akan datang…” jelas Cik Subaidah, yang menjual nasi sambal goreng, nasi jengangan, nasi rawon dan pelbagai masakan lain.  

Ada juga peniaga yang akan meneruskan perniagaan di lokasi lain seperti peniaga sayur, Encik Anwar Sulaiman, 67 tahun. Beliau miliki sebuah lagi pasar raya mini di Tampines, yang menjual sayur, daging, ayam dan banyak lagi.

Namun, beliau harus “bertahan dengan untung dan rugi di sana kerana pelanggan tidak akan ramai dan rancak seperti di Geylang.”

Sementara itu, peniaga seperti Pemilik Tokoh Hajah Ayenon, Encik Husin Yusof Ibrahim, 57 tahun, berharap untuk mengambil kesempatan untuk berehat dalam masa tempoh penutupan itu, setelah melakukan persiapan kewangan sebelum bulan puasa lagi.

“Memandangkan saya sudah ada simpanan dan tiga bulan cuti, saya akan mengerjakan umrah pada September nanti bersama isteri. Sebelum ini memang sudah ada perancangan untuk ke umrah cuma belum ada kesempatan,” ujar beliau yang menjual pakaian seperti baju kurung, tudung dan telekung di pasar lama sejak 1987. 

Pelanggan turut terkesan dengan penutupan Pasar Geylang Serai yang sudah menjadi tempat ramai berbelanja, bertemu dan berhubung dengan orang ramai.

Bagi Encik Kamis A. Rahman, 77 tahun, beliau gemar ke Geylang sejak tahun 60-an semasa beliau bujang lagi. 

“Dulu, saya datang ke sini untuk beli barang pasar. Lagipun, makanannya murah dan sedap,” ujar beliau yang masih berkunjung ke Pasar Geylang walaupun sudah berpindah ke Punggol dari Ubi.

Walaupun ada tempat pilihan lain seperti Bedok North, Encik Kamis berkata ia tidak sama kerana “Pasar Geylang mempunyai barangan yang tiada atau sukar ditemui di tempat lain”.

Cik Norlenny Jainal, yang dalam lingkungan usia 40-an, turut berkongsi luahan yang sama.

“Kita cuma pergi ke Geylang untuk dapatkan barang-barang yang ada di sini sahaja. Sini bagusnya sebab pelbagai barang boleh dapat dalam satu tempat. Jadi, sebelum Geylang tutup untuk tiga bulan, saya akan membeli barang terlebih dahulu,” kata beliau. 

Walaupun tempat lain tidak setanding Pasar Geylang, para pelanggan tetap mengalu-alukan kerja-kerja naik taraf dan mengharap agar keadaan lebih teratur, luas dan selesa, menurut Cik Marlini Badrom, yang berusia dalam lingkungan 40-an.

Terdapat beberapa sokongan yang ditawarkan NEA, seperti gerai sementara di pusat penjaja atau pasar lain manakala sewa sepanjang tempoh penutupan itu akan dikecualikan.

BH difahamkan pada 26 Julai bahawa lebih 300 peniaga terkesan dan hanya satu peniaga pasar yang menjual makanan laut telah mengambil gerai sementara untuk meneruskan perniagaannya.

Sokongan pekerjaan turut dihulurkan pemerintah kepada mereka terjejas.

Misalnya, Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC dan Bidang Tumpuan Empat (FA4) M Kuasa Tiga (M³) dengan sokongan CDC South East menganjurkan pameran kerjaya di pejabat CDC South East pada 18 Julai lalu.

Ia menawarkan lebih 1,000 kerja kosong dari sebanyak 10 syarikat daripada pelbagai sektor termasuk logistik, perkhidmatan hospitaliti, pembersihan dan perniagaan makanan dan minuman (F&B).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg