Kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur (KL), menjadi isu yang menarik perhatian ramai bukan sahaja di Malaysia, bahkan di Singapura dan menjadi berita hangat di sebilangan negara.
Tragedi pada 23 Ogos itu mengorbankan seorang pelancong India, Cik G.Vijaya Lakshmi, 48 tahun, yang hilang selepas terjatuh akibat kejadian tanah jerlus ketika berjalan kaki di lokasi terbabit.
Sejak kejadian itu, ramai berasa bimbang untuk ke sana walaupun sudah beberapa kali pemimpin Malaysia serta Datuk Bandar KL, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, memberi jaminan bahawa kawasan tanah di situ adalah selamat.
Malah, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut mengulangi jaminan bahawa KL adalah bandar selamat untuk dikunjungi. Justeru, katanya, orang ramai termasuk pelancong ke ibu kota negara itu tidak perlu bimbang.
Terbaru, Mesyuarat Pasukan Bertindak Insiden Tanah Jerlus Masjid India pada 10 September dalam laporannya juga menegaskan bahawa kawasan serta bangunan di Jalan Masjid India disahkan selamat dikunjungi, dengan insiden tanah jerlus didapati adalah kejadian terpencil. Mesyuarat itu dihadiri wakil daripada lapan agensi.
Kejadian tanah jerlus itu mengingatkan saya tentang insiden yang pernah berlaku kepada saya semasa mengembara seorang diri di beberapa negeri di kawasan pantai timur Malaysia lebih tiga dekad lalu.
Semasa itu saya berjalan di laluan pejalan kaki berhampiran stesen bas utama di Kuala Terengganu.
Tatkala memijakkan kaki di atas jaring besi penutup longkang di situ, tiba-tiba penutup itu terjerlus ke dalam longkang sedalam kurang lebih 1.8 meter, dengan saya juga terjatuh ke dalamnya.
Bahagian tangan dan kaki berasa sakit sedang saya berada di dalam longkang gelap itu. Namun, nasib menyebelahi saya kerana waktu itu tidak hujan, justeru paras air dalam longkang agak rendah.
Perlahan-lahan, saya memanjat keluar daripada longkang itu sendiri memandangkan tiada orang di kawasan berdekatan.
Dalam hati berasa syukur kerana jika longkang itu penuh dengan air, mungkin saya mengalami nasib berbeza.
Selain beberapa kesan luka di tangan dan kaki, tiada luka serius lain, walaupun berasa agak trauma akibat kejadian itu.
Sehingga kini, trauma itu masih wujud dan saya kadangkala agak keberatan memijakkan kaki di atas jaring besi penutup longkang sama ada di Singapura, apalagi di Malaysia, khususnya jika penutup longkang itu kelihatan usang.
Oleh itu, tidak hairanlah selepas ramai menyaksikan kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India pada 23 Ogos lalu, timbul rasa khuatir dalam sebilangan orang, termasuk warga Singapura, untuk mengunjungi kawasan tersebut.
Beberapa kenalan sudah melahirkan rasa bimbang untuk mengunjungi kawasan beli-belah popular di KL itu buat masa ini, sehinggalah isu tanah jerlus itu ditangani secara menyeluruh.
Pihak berkuasa tempatan Kuala Lumpur mungkin perlu mengambil tindakan pemulihan yang konkrit dan menyeluruh selain usaha perhubungan awam (PR) yang menyeluruh untuk meningkatkan keyakinan orang ramai, sekali gus dapat menghapuskan rasa bimbang itu.
Malah, peniaga di sekitar Jalan Masjid India juga telah meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat hebahan secara berterusan bagi menarik orang ramai berkunjung ke situ.
Ini dapat meningkatkan keyakinan pengunjung, termasuk warga Singapura, untuk datang ke KL dan khususnya membeli-belah di kawasan Jalan Masjid India yang merupakan ‘kawasan permata’ beli-belah sejak sekian lama.
Sememangnya kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India itu adalah kejadian terpencil dan bukan merupakan kejadian meluas di banyak kawasan di KL mahupun Malaysia.
Ramai warga Singapura gemar bersiar-siar di Malaysia yang merupakan antara tempat popular dalam kalangan warga negara ini sejak sekian lama. Singapura juga merupakan pelancong terbesar ke Malaysia tahun demi tahun.
Diharapkan, kejadian tanah jerlus ini dapat diatasi dengan menyeluruh dan meyakinkan, sehingga mewujudkan rasa selesa dan selamat kepada pengunjung ke kawasan Masjid India itu, sama ada dalam kalangan warga Malaysia sendiri mahupun luar negara, setiap kali mereka menggunakan laluan pejalan kaki di situ.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg