KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) menghentikan serta-merta latihan membaling bom tangan di Kem Hobart, Gurun, Kedah, susulan tragedi letupan yang mengorbankan dua anggotanya pada 16 Jun lalu.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman, mengarahkan latihan berkenaan dihentikan bagi semua cabang perkhidmatan TDM untuk memberi ruang kepada siasatan menyeluruh.

“Siasatan akan dikendalikan oleh pegawai bertauliah dari Lembaga Siasatan termasuk Unit Bahagian Letupan dan Bom. Ia dijangka akan mengambil masa antara dua minggu dengan sebulan.

“Sebarang keputusan akan dibuat berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak yang berkenaan demi menjamin keselamatan warga TDM dan keseluruhan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara amnya,” ujar beliau, lapor laman web, Astro Awani.

Pihak tentera sedang mengenal pasti punca sebenar tragedi tersebut dan tindakan susulan akan diambil sebaik sahaja penemuan siasatan diperolehi.

Tragedi di lapang sasar itu telah meragut nyawa Koperal Norazmi Abu Bakar, 40 tahun, daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja; dan Prebet Siti Khadijah Sungip, 24 tahun, daripada Skuadron Pertama 1 Rejimen Askar Jurutera Diraja.

“Bantuan sepenuhnya diberikan kepada keluarga termasuklah pampasan yang layak diterima,” kata Tan Sri Azhan.

Sementara itu bapa Allahyarhamha Prebet Siti Khadijah, Encik Sungip Jais, 65 tahun, reda dengan kejadian itu, namun terkilan hasrat untuk melihat anak bongsunya meneruskan legasi keluarga dalam angkatan tentera berakhir dengan tragedi.

Beliau yang juga pesara tentera berkata, Allahyarhamha yang juga anak bongsu tujuh beradik memilih menyertai TDM, kerana minat yang mendalam terhadap kerjaya ketenteraan, selain mahu meneruskan legasi keluarga.

“Dia memang minat tentera sejak kecil. Dia pernah beritahu mahu sambung legasi keluarga kerana saya juga bekas anggota Tentera Darat,” katanya.