KUALA TERENGGANU: Kira-kira RM2.4 bilion ($730 juta) diperlukan untuk projek pembinaan benteng pemecah ombak di 34 pantai yang terbabit dengan hakisan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri (Pengurusan Bencana), Encik Hanafiah Mat, berkata peruntukan untuk membina benteng pemecah ombak biasanya antara RM5 juta hingga RM10 juta setiap kilometer, bergantung pada spesifikasi.
Katanya, peruntukan untuk pembinaan benteng pemecah ombak bergantung kepada beberapa faktor antaranya panjang pantai yang terhakis.
“Jenis benteng yang dibina akan mempengaruhi kos yang boleh berbeza bergantung kepada reka bentuk, sama ada benteng konkrit, tetrapod atau gabion.
“Tahap hakisan juga menentukan perbelanjaan apabila hakisan yang teruk mungkin memerlukan struktur lebih kukuh menyebabkan kos lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi pada 16 Januari, lapor Berita Harian Malaysia.
Encik Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Chukai berkata kos bahan dan buruh tempatan serta harga binaan seperti batu, simen dan tenaga kerja juga turut mempengaruhi kos.
“Kerajaan negeri akan berusaha mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan memandangkan ia membabitkan bidang kuasa dan tanggungjawab mereka.
“Jumlah peruntukan untuk pembinaan benteng di 34 pantai yang dilaporkan terbabit dengan hakisan adalah anggaran, tetapi kajian secara mendalam oleh pakar diperlukan untuk mendapatkan jumlah kos sebenar berdasarkan keadaan setempat,” katanya.
Beliau berkata anggaran peruntukan yang diperlukan itu dibuat berdasarkan panjang pantai setiap daerah dan kos purata pembinaan tidak termasuk penyelenggaraan jangka panjang.
“Kajian lebih terperinci diperlukan untuk mengenal pasti tahap hakisan dan keperluan pembinaan di setiap lokasi,” kongsinya.
Justeru, katanya, kerajaan negeri menggesa Kerajaan Persekutuan untuk segera meluluskan peruntukan tambahan bagi menangani isu hakisan yang kian mengancam kawasan pantai di negeri ini.
Sebelum ini dilaporkan ombak besar dan air pasang melanda beberapa daerah di Terengganu sehingga menyebabkan ratusan mangsa terpaksa berpindah ke tempat perlindungan.
Beberapa jalan raya berdekatan kawasan pantai juga rosak akibat ombak itu dan kejadian hakisan tanah. Beberapa rumah dan premis niaga juga terjejas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg