ISKANDAR PUTERI: Jumlah pengunjung ke Eko-Pelancongan Kampung Sungai Melayu di sini melonjak lebih dua kali ganda kepada 15,188 orang bagi tempoh Januari hingga Julai 2026, berbanding 6,256 orang dalam tempoh sama pada 2025.

Peningkatan hampir 143 peratus itu dicatatkan selepas destinasi berkenaan dinaik taraf dan dibuka semula pada 1 Jun dengan beberapa kemudahan serta kegiatan baru.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata tarikan berkenaan kini menawarkan pengalaman lebih selesa kepada pengunjung, selain mengekalkan keunikan alam semula jadi dan kehidupan penduduk kampung.

“Syukur alhamdulillah, satu lagi produk pelancongan Johor kini diberi nafas baru.

“Eko-Pelancongan Kampung Sungai Melayu yang dibangunkan kini menawarkan pengalaman lebih selesa dan menarik, bukan sahaja melalui kegiatan menyusuri sungai, malah turut dilengkapi Laman Budaya, gerai jualan, kawasan jeti, tempat letak kereta serta perkhidmatan kereta pengangkut,” katanya dalam kenyataan pada 26 Ogos.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (dua dari kanan), menaiki bot Iskandar Puteri River Cruise dimana pelancong akan dibawa menghayati pemandangan bandar Johor Bahru dari Selat Tebrau.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (dua dari kanan), menaiki bot Iskandar Puteri River Cruise dimana pelancong akan dibawa menghayati pemandangan bandar Johor Bahru dari Selat Tebrau. - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

Menurut Datuk Onn Hafiz, peningkatan jumlah pengunjung mencerminkan sambutan yang semakin baik dan potensi besar Kampung Sungai Melayu untuk muncul sebagai destinasi ekopelancongan pilihan di Johor.

Pengunjung boleh memilih dua kegiatan utama, iaitu Lawatan Bot menggunakan bot kecil atau Pelayaran Sungai dengan bot lebih besar.

Tiket Lawatan Bot bagi warga Malaysia berharga RM35 ($10.50) untuk dewasa dan RM18 bagi kanak-kanak. Bagi pelancong asing, harga tiket ditetapkan pada RM60 untuk dewasa dan RM35 bagi kanak-kanak.

Harga Pelayaran Sungai bagi warga Malaysia pula ialah RM45 untuk dewasa dan RM22 bagi kanak-kanak.

Destinasi itu dibuka dari 9 pagi hingga 4.30 petang dan tidak beroperasi pada Jumaat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad, berkata kerja menaik taraf kawasan berkenaan bermula pada penghujung 2024 sebelum ia dibuka semula pada 1 Jun lalu.

Pelancong juga boleh memilih untuk menyusuri hutan paya bakau Kampung Sungai Melayu di mana mereka akan diajar cara menangkap ketam dan menuai kupang di rumah penternakan kupang kampung berkenaan.
Pelancong juga boleh memilih untuk menyusuri hutan paya bakau Kampung Sungai Melayu di mana mereka akan diajar cara menangkap ketam dan menuai kupang di rumah penternakan kupang kampung berkenaan. - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

Menurutnya, dua jenis perjalanan bot itu menawarkan pengalaman yang berbeza kepada pengunjung.

“Lawatan Bot membawa pengunjung meneroka kawasan hutan paya bakau, manakala Pelayaran Sungai menggunakan bot besar dan bergerak ke arah bandar Johor Bahru.

“Pengunjung boleh melihat beberapa mercu tanda di sepanjang perjalanan, termasuk kawasan Danga Bay. Tempoh perjalanan dianggarkan antara 30 dengan 45 minit,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Selain menyusuri paya bakau, pengunjung boleh melihat kehidupan masyarakat nelayan, mengenali kegiatan ternakan kupang, mencuba cara tradisional menangkap ketam serta menikmati hasil laut dan masakan tempatan.

Datuk Pandak berkata kerajaan negeri turut mengkaji kemungkinan memperkenalkan pelayaran ketika matahari terbenam bagi mempelbagaikan pengalaman yang ditawarkan.

Beliau memberi jaminan bahawa harga tiket tidak akan dinaikkan sewenang-wenangnya walaupun jumlah pengunjung dijangka terus bertambah.

“Harga masih dikekalkan kerana destinasi ini berada di bawah kawalan kerajaan negeri dan turut dipantau Pejabat Menteri Besar,” katanya.

Wajah baru jeti Kampung Sungai Melayu. Nelayan laut yang dahulunya hanya mempunyai sumber pendapatan hasil laut kini juga boleh menjana pendapatan sebagai pemandu pelancong.
Wajah baru jeti Kampung Sungai Melayu. Nelayan laut yang dahulunya hanya mempunyai sumber pendapatan hasil laut kini juga boleh menjana pendapatan sebagai pemandu pelancong. - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

Usaha promosi juga akan diperluas kepada sekolah menengah dan sekolah swasta bagi memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai kepelbagaian biologi serta kepentingan memelihara hutan paya bakau.