KUALA LUMPUR: Tiada kewujudan kartel atau mafia yang terbabit dalam penentuan harga beras dan benih padi di Malaysia sebagaimana didakwa.
Tegas menafikan dakwaan itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM) berkata sejumlah 39,000 lesen pelbagai jenis termasuk Lesen Borong Beras, Lesen Eksport, Lesen Import, Lesen Kilang Padi, Lesen Membeli Padi, Lesen Beras Runcit dan Kelulusan Khas Menjual Benih Padi bagi benih padi sah (BPS) dikeluarkan kementeriannya.
Langkah itu, menurut KPKM, jelas menunjukkan tiada kartel atau mafia yang dimaksudkan wujud dan mampu memonopoli industri padi dan beras.
Kementerian itu menambah, ia juga menjalankan operasi penguatkuasaan bagi membendung kewujudan kartel dan mafia seperti didakwa pihak tertentu.
“Industri padi dan beras negara dikawal selia oleh Kawalselia Padi dan Beras KPKM melalui Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).
“Melalui akta ini, kementerian melaksanakan aktiviti kawal selia melalui pelesenan dan penguatkuasaan untuk memastikan industri padi dan beras berkembang secara sihat serta teratur.
“Akta ini juga memperuntukkan kuasa kepada Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras dalam mengeluarkan lesen dan permit bagi urus niaga padi serta beras membabitkan pengilangan, pemborongan, peruncitan, import eksport dan pemindahan antara negeri,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.
KPKM juga menegaskan, bagi memastikan semua peruncit menjual BPS mengikut harga ditetapkan oleh kerajaan dan tiada sebarang unsur penyorokan benih itu, KPKM melaksanakan Pasukan Petugas Operasi Benih Padi Sah (Op BPS) pada 7 hingga 21 November 2023.
Sepanjang tempoh berkenaan, KPKM berjaya menarik balik 22 lesen penjualan BPS milik peruncit yang melanggar syarat lesen.
“KPKM memberi peringatan kepada semua pengilang, pemborong dan peruncit supaya sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan kita tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan dalam isu ini.
“Tindakan tegas akan diambil seperti pembatalan lesen sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang,” ujarnya.
Pada Oktober 2023, KPKM turut melaksanakan Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan (Op BPT), susulan kesukaran pengguna mendapatkan beras tempatan yang dijual lebih murah berbanding beras import yang harganya melonjak berikutan sekatan import dari India.
Menerusi Op BPT, 78 pemeriksaan telah dilakukan ke atas kilang dan pemborong beras di lima negeri di Semenanjung, membabitkan pemeriksaan ke atas 42 kilang dan 36 pemborong beras.
Op BPT turut membawa penemuan kepada sebuah kilang beras di Alor Star, Kedah, yang disita kerana disyaki menyorok beras putih tempatan seberat 180 tan, ketika rakyat berdepan kesukaran mendapatkan bekalan beras itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg