Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiada label ‘kem’, PKR hanya ada satu pasukan Anwar Ibrahim

Apr 27, 2025 | 5:30 AM
PM Malaysia Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan tidak akan melakukan rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan susulan keputusan Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 bagi peringkat cabang yang berakhir baru-baru ini. - Foto BERNAMA

Banyak laporan menyatakan kem Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli, termasuk beberapa nama besar tewas pada pemilihan parti peringkat cabang, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita, yang berlangsung baru-baru ini.

Kekalahan mengejut itu menyaksikan antara pemimpin yang dikaitkan dengan Datuk Rafizi, termasuk Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Encik Nik Nazmi Nik Ahmad; dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir, tewas walaupun dengan majoriti tipis, bawah 150 undi.

Perkembangan itu, walaupun mencetuskan rasa tidak puas hati terhadap beberapa pihak yang tewas, namun secara tidak langsungnya menyaksikan suara akar umbi mahukan parti dipimpin oleh satu kepimpinan yang kuat dan stabil di bawah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Suara sudah dilaungkan akar umbi bahawa PKR hanya perlu ada pasukan diketuai Datuk Anwar dan isyarat itu perlu diberi perhatian oleh barisan kepimpinan parti.

Angin perubahan cukup drastik yang disuarakan akar umbi ini juga jelas menunjukkan mesej bahawa PKR tidak boleh lagi ‘berpecah’ kepada kumpulan tertentu yang cuba menguasai parti di peringkat cabang dan pusat.

Berpaksikan kepada suara demokrasi yang subur dalam PKR, ini adalah kali pertama dalam sejarah pemilihan parti menyaksikan akar umbi berani melakukan satu keputusan ‘menongkah arus’ tanpa mengira kedudukan dan jawatan calon, ketika membuat pilihan di peringkat cabang.

Selain Encik Nik Nazmi dan Encik Akmal Nasrullah, beberapa pemimpin dikaitkan dengan kem tertentu yang tewas ialah Ahli Parlimen (AP) Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik di Cabang Balik Pulau; AP Petaling Jaya, Encik Lee Chean Chung; dan AP Segamat, Encik R Yuneswaran.

Keberanian ahli akar umbi ‘mengalihkan’ arah tuju parti di peringkat cabang difahamkan demi melihat PKR, iaitu sebuah parti yang penuh bersejarah, daripada (parti) jalanan ke Putrajaya dengan menjunjung pegangan reformasi yang cukup kuat sejak ditubuhkan, terus diperkukuhkan lagi.

Pastinya, majoriti ahli PKR di 222 cabang ini mahukan institusi Presiden diberikan mandat lebih kuat lagi dan tidak mahu parti terus dibelenggu dengan label tertentu seperti kem Rafizi dan sebagainya.

Ramai ahli PKR melihat dan menyaksikan sendiri bagaimana kepimpinan Perdana Menteri dalam parti sebelum ini.

Mereka mahu melihat Datuk Anwar terus memainkan peranan lebih besar secara kukuh seperti dalam Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Umno yang mana kuasa Presiden mengatasi segala-galanya.

Namun di sebalik perkembangan itu, fakta juga tidak boleh diketepikan bahawa ada juga sekutu Encik Rafizi turut meraih kejayaan pada pemilihan parti.

Ini termasuk Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Encik Chang Lih Kang, yang menang tanpa bertanding di Cabang Tanjong Malim; serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, yang mempertahankan jawatan di Cabang Port Dickson.

Encik Rafizi, yang juga Menteri Ekonomi, turut menang bergaya tanpa laluan sukar di Cabang Pandan dengan mengalahkan pencabarnya dalam perlawanan satu lawan satu.

Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Dr Azman Hassan, berkata akar umbi mahu hanya kem yang selari dengan Presiden berada dalam parti bagi sama-sama meneruskan perjuangan parti yang tertubuh atas ‘sejarah’ panjang Datuk Anwar sendiri.

Beliau berkata menariknya dengan perkembangan ini, adakah mungkin bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bakal mencabar Encik Rafizi sekali lagi dalam pemilihan kali ini?

“Paling cocok adalah Saifuddin Nasution kerana mereka sama-sama menubuhkan parti dengan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Ini amat menarik sekali. Walaupun pada ketika ini jawatan Timbalan Presiden belum ada pencabar, namun melihat pola keputusan di cabang, mungkin akan adanya pencabar nanti,” katanya kepada Berita Harian Malaysia.

Pada pemilihan PKR bagi penggal 2022 hingga 2025, Datuk Saifuddin, yang juga Menteri Dalam Negeri, tewas di tangan Encik Rafizi ketika merebut jawatan timbalan presiden parti.

Penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian, berkata perkembangan itu walaupun jelas, menunjukkan ahli PKR mahukan hanya satu nakhoda dalam parti, namun ia tidaklah menunjukkan bahawa kem Encik Rafizi berkubur sepenuhnya.

“Lumrah dalam mana-mana pemilihan ada yang menang, ada yang tewas... yang menang tidak menang semuanya, yang kalah tidak kalah semuanya.

“Tetapi mereka (kem Rafizi) perlu kekal menguatkan diri untuk kembali dalam pemilihan akan datang,” katanya.

Sementara itu, Datuk Anwar mengesahkan tidak akan melakukan rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan susulan keputusan Pemilihan PKR 2025 bagi peringkat cabang yang berakhir baru-baru ini.

Perdana Menteri Malaysia itu menjelaskan bahawa soal itu tidak timbul kerana pemilihan berkenaan terkait dengan pengundian dalaman parti PKR saja.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg