KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengakui ada menyertai perbincangan dengan Parti Tindakan Rakyat (PKR), namun belum membuat keputusan berhubung penyertaannya dalam parti itu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu bagaimanapun berkata perbincangan berkenaan tidak membabitkan jawatan di peringkat negeri mahupun pilihan raya kecil.
“Sebenarnya, saya tiada membuat keputusan mengenai keahlian mana-mana parti walaupun seperti yang disebut Perdana Menteri pernah ada perbincangan mengenai perkara ini dengan pihak berkaitan.
“Saya amat terkejut dengan kenyataan kepimpinan mengenai perkara ini. Malah sejak isu ini mula diketengahkan, saya tidak menerima sebarang panggilan daripada pucuk pimpinan Umno bertanyakan isu sebenar.
“Saya berpegang kepada prinsip apabila saya membuat sesuatu keputusan sudah tentu saya akan membuatnya dengan penuh adab dan memaklumkan secara rasmi kepada pucuk pimpinan parti saya,” katanya dalam kenyataan pada malam 15 Disember, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Tengku Zafrul mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengesahkan wujud perbincangan awal berhubung penyertaannya dalam PKR.
Datuk Anwar, juga Presiden PKR, dilaporkan berkata prinsip parti adalah terbuka kepada mana-mana pemimpin yang mampu memberi sumbangan kepada parti tetapi ia perlu dilakukan dengan cara baik supaya hubungan dengan rakan parti lain termasuk Umno tidak terjejas.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata beliau sudah meninggalkan dunia korporat untuk menjadi anggota pentadbiran Kerajaan dan yakin ia landasan kerjaya yang mampu menyediakan ruang serta peluang untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Saya percaya rakyat Malaysia sudah muak dengan politik remeh dan tidak sihat. Ini termasuk serangan belakang tabir tanpa asas, terutama sekali kerana saya yakin apa yang rakyat mahu bukan politik ekstrem tetapi usaha kita semua untuk membina rakyat dan negara.
“Ramai maklum isu ini sudah saya ketengahkan sebelum ini dalam konteks Umno Selangor tetapi malangnya perkara ini masih membelenggu Umno Selangor,” katanya.
Sebelum ini, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau belum menerima sebarang makluman rasmi daripada Tengku Zafrul berhubung rancangannya untuk meninggalkan parti dan menyertai PKR.
Bagaimanapun, beliau membidas ahli Umno yang mengutamakan kepentingan peribadi berbanding kesetiaan kepada parti.
Setiausaha Agung PKR, Cik Fuziah Salleh, berkata belum ada permohonan daripada Tengku Zafrul untuk menyertai parti itu dan sesiapa sahaja termasuk Tengku Zafrul yang ingin menyertai PKR mesti memohon secara dalam talian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg