KUALA LUMPUR: Kafe utama di bangunan Parlimen Malaysia diarah tutup selama dua minggu dari 13 hingga 26 November oleh Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur.
Notis Perintah Tutup Premis Makanan itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan berdasarkan Seksyen 11, Akta Makanan 1983.
Arahan perintah penutupan itu dikeluarkan selepas pemeriksaan mendapati kafe berkenaan tidak bersih hingga mungkin mendatangkan bahaya kepada orang awam.
Susulan itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat (Parlimen), Tan Sri Johari Abdul, berkata pihaknya akan memanggil semua pihak terbabit untuk mengetahui keadaan sebenar.
“Selepas persidangan ini, saya akan panggil semua pihak yang terbabit berjumpa saya dan saya akan maklumkan apakah (hasil) siasatan,” katanya di Dewan Rakyat, lapor Berita Harian Malaysia.
Ketetapan itu dibuat Tan Sri Johari susulan Encik Lim Guan Eng (Pakatan Harapan-Bagan) membangkitkan berhubung peraturan mesyuarat 81 (1) mengenai jawatankuasa pilihan Dewan berkaitan saman dikeluarkan ke atas kafe Parlimen.
Terdahulu, Encik Lim berkata pihaknya beranggapan keadaan kafe yang melanggar peraturan jabatan kesihatan itu tidak sepatutnya berlaku.
“Kalau kantin Parlimen boleh dianggap tidak bersih, bagaimana pula makanan di seluruh negara kerana memberikan satu tanda simbolik yang amat negatif.
“Kita di sini hendak mendapatkan petua dan panduan daripada Tan Sri (Johari Abdul) bagaimana kita harus menangani masalah ini.
“Jika tidak ia akan mencemarkan imej Parlimen, kalau kantin Parlimen pun tidak bersih, bagaimana yang lain dalam negara kita boleh bersih?” kata Encik Lim.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg