Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keracunan makanan di Perak: Pengusaha kantin sekolah ditamat kontrak, akan didakwa di mahkamah

Oct 2, 2024 | 1:17 PM
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Encik A Sivanesan (kanan), memeriksa tahap kebersihan kantin Sekolah Kebangsaan Chepor di Ipoh, Perak, selepas penggendali kantin sekolah itu ditamatkan kontrak kerana menyebabkan 134 guru dan murid keracunan makanan pada 24 September.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Encik A Sivanesan (kanan), memeriksa tahap kebersihan kantin Sekolah Kebangsaan Chepor di Ipoh, Perak, selepas penggendali kantin sekolah itu ditamatkan kontrak kerana menyebabkan 134 guru dan murid keracunan makanan pada 24 September. - Foto BERNAMA

IPOH (Perak): Pengusaha kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor, di Ipoh, Perak, yang dipercayai cuai hingga menyebabkan 134 murid dan guru keracunan makanan pada 24 September, ditamatkan kontrak serta-merta dan bakal didakwa di mahkamah.

Kontrak pengusaha kantin itu ditamatkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak meskipun kontrak asal masih berbaki hingga 30 November 2024 dan pengusaha kantin terbabit juga bakal didakwa di mahkamah atas tuduhan memudaratkan kesihatan guru dan pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Encik A Sivanesan, berkata pihak pendakwaan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sudah mengumpul bukti yang cukup dan akan memfailkan tuduhan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dalam tempoh terdekat.

“Saya dimaklumkan oleh JPN bahawa pada 2023, dua teguran bertulis sudah diberikan kepada pengusaha ini disebabkan gagal menjaga aspek kebersihan premis.

“Kita jarang dakwa pengusaha kantin ke mahkamah kerana tak mahu hukum seseorang jika kesalahan dilakukan hanya sekali, namun ini kes serius. Jadi, saya putuskan kita harus dakwa kerana kita ada cukup bukti.

“Maka ini pasti menjadi peringatan tegas kepada pengusaha kantin lain supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya selepas melakukan lawatan ke kantin SK Chepor, di Ipoh, Perak, lapor Berita Harian Malaysia.

Lebih mengecewakan ialah semasa tinjauan itu masih jelas terdapat najis tikus di kawasan dapur kantin berkenaan.

Pada 26 September, Encik Sivanesan dilaporkan berkata kantin sekolah terbabit diarah tutup selama 14 hari oleh JKN Perak.

Beliau berkata murid sekolah terbabit mengadu minuman bancuhan berperisa coklat yang dijual dua hari sebelum itu berbau masam, selain sebahagian daging ayam goreng masih mentah.

Sementara itu, Encik Sivanesan berkata dua murid sekolah yang sebelum ini dimasukkan ke wad kanak-kanak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, bagi rawatan akibat keracunan makanan itu sudah dibenarkan pulang ke rumah pada 27 September.

Beliau berkata pihak sekolah diminta melantik seorang guru bagi meninjau kebersihan kantin dan bertindak sebagai panel perasa makanan sebelum dijual kepada murid.

“Saya juga memohon maaf secara terbuka kepada ibu bapa dan penjaga murid atas kejadian ini,” katanya.

Encik Sivanesan berkata walaupun kantin ditutup pada masa ini, penyediaan perkhidmatan makanan dan minuman murid tetap diuruskan pihak pengurusan sekolah buat sementara waktu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg