Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tidak mahu Najib diberi ‘keistimewaan’ jalani hukuman tahanan di rumah

AP minta kerajaan beri jaminan jelang keputusan bicara 25 kes seleweng dana 1MDB
Oct 29, 2024 | 5:22 PM
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak.
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak. - Foto BERNAMA

Menjelang keputusan perbicaraan 25 kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Encik Najib Tun Razak pada 30 Oktober, kerajaan Malaysia diminta memberi jaminan bekas perdana menteri itu tidak akan diberi ‘keistimewaan’ melalui hukuman tahanan di rumah, yang bakal digubal pada 2025.

Perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen (AP) Bukit Gelugor (Pulau Pinang) yang juga timbalan pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang, Encik Ramkarpal Singh Karpal Singh, di Dewan Rakyat (Parlimen) pada 29 Oktober.

Beliau menuntut jaminan kerajaan bahawa langkah pelaksanaan tahanan di rumah kelak tidak akan terpakai untuk kes berprofil tinggi, termasuk melibatkan bekas presiden Umno berusia 71 tahun itu.

Encik Ramkarpal turut mempersoalkan kerelevanan permohonan maaf oleh Encik Najib pada 24 Oktober bagi kecurangan kes 1MDB, yang dibuat selepas kerajaan memutuskan penggubalan akta baru berkait tahanan di rumah menerusi Belanjawan 2025, yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 18 Oktober.

“Tiada sebab untuk permohonan maaf itu dibuat pada masa ini memandangkan kes ini telah pun dibicarakan sejak 2019.

“Kenapa permohonan maaf ini tidak diberi sebelum ini sekiranya ia permohonan maaf yang tulus? Kes ini (1MDB) sudah lima tahun berlalu, 50 saksi sudah beri keterangan, permohonan maaf terbuka mungkin jadi subjudis kepada mahkamah.

“Tetapi saya khuatir sama ada undang-undang tahanan rumah ini digubal untuk Najib. Kita perlu faham bahawa kesalahan yang telah disabitkan ke atasnya adalah amat besar yang telah jejaskan hala tuju negara.

“Jadi hukuman di rumah tidak boleh terpakai bagi kes melibatkan Najib,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2025 di Parlimen pada 29 Oktober.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bakal memutuskan nasib Encik Najib, sama ada dia diperintahkan membela diri atau dibebaskan daripada empat tuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM2.3 bilion ($690 juta) pada 30 Oktober.

Sebelum itu, Parlimen turut panas dengan pertikaian mengenai kewujudan titah Adendum (titah tambahan) Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ahmad Shah, supaya Encik Najib menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Pada 1 April, Encik Najib memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum itu, bagaimanapun ia ditolak mahkamah.

Titah Adendum itu didakwa adalah tambahan daripada keputusan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Agong ke-16, yang memberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalani Encik Najib.

Selain itu, Encik Najib turut diberi pengurangan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta, yang perlu dibayar selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC), pada 2022.

Datuk Anwar sebelum ini dilaporkan menerima permohonan maaf Encik Najib, bagi menunjukkan contoh sifat pemimpin yang baik.

Bagaimanapun, kalangan pemimpin dan penyokong Kerajaan Perpaduan, terutama daripada Pakatan Harapan (PH), sinis terhadap permohonan maaf itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg