Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Najib mohon maaf kes 1MDB, dakwa tidak bersalah

Sifatkan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low, dan eksekutif PetroSaudi sebagai dalang
Oct 25, 2024 | 12:23 PM
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - Foto FACEBOOK NAJIB RAZAK

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kejadian salah laku dalam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam satu kenyataan yang dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar Najib, pada 24 Oktober petang, Encik Najib kekal menyatakan dirinya tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low, dan eksekutif PetroSaudi.

Permohonan maaf Encik Najib dilakukan enam hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan sama ada beliau perlu membela diri dalam kes rasuah 1MDB yang bermula pada 2019.

Encik Najib berkongsi rasa amat terluka mengetahui segala kecurangan berlaku dalam 1MDB ketika berada di bawah pengawasannya sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri ketika itu.

“Tiada lain yang dapat saya nyatakan selain memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Bekas presiden Umno itu menambah, sepanjang tempoh menjalani hukuman penjara 26 bulan dan susulan pelbagai perkembangan penting berkaitan 1MDB, beliau terpanggil membuat kenyataan itu.

Encik Najib kemudian memetik artikel yang diterbitkan, The Edge, pada awal Oktober yang menunjukkan bagaimana Low Taek Jho atau Jho Low, dan dua eksekutif PetroSaudi, Patrick Mahony dan Tarek Obaid, berpakat menyelewengkan dana 1MDB.

“Perbicaraan mahkamah baru-baru ini, sabitan kes terhadap eksekutif PetroSaudi di mahkamah Switzerland dan artikel terkini diterbitkan The Edge berdasarkan analisis mereka terhadap kes itu serta e-mel dalaman PetroSaudi, sekali lagi membuktikan saya bukanlah dalang dan tidak bersubahat dengan Jho Low untuk menyeleweng dana 1MDB,” dakwanya.

Menurut kenyataan Encik Najib itu, beliau mendakwa bahawa rumusan daripada artikel diterbitkan itu menyatakan PetroSaudi serta Jho Low bersubahat memperdayakannya.

“Saya tidak sedar PetroSaudi telah mengalihkan dana 1MDB dan saya tidak langsung mengetahui bahawa saya telah menerima wang daripada dana yang telah dihantar oleh 1MDB kepada PetroSaudi.

“Walaupun sukar bagi sesetengah pihak untuk memahami, saya telah dinasihati dan dengan jujur mempercayai pada masa itu bahawa dana yang saya terima adalah sumbangan politik daripada Kerajaan Arab Saudi.

“Ia sepertimana yang telah dinyatakan dalam prosiding mahkamah bahawa memang terdapat dua sumbangan besar yang disahkan pada 2010 diterima daripada Kerajaan Arab Saudi, iaitu sumbangan tersebut tidak pernah menjadi subjek dalam mana-mana prosiding jenayah ataupun sivil,” dakwanya.

Dalam perbicaraan yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi sekarang, Encik Najib, 70 tahun, berdepan empat tuduhan iaitu menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan RM2.3 bilion ($697.9 juta) dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Encik Najib dikenakan sejumlah 42 tuduhan dalam empat perbicaraan jenayah berasingan yang berkaitan dengan 1MDB.

Beliau kini sedang menjalani hukuman penjara yang dikurangkan kepada enam tahun selepas mendapat pengampunan Lembaga Pengampunan, setelah disabitkan bersalah menyalahgunakan RM42 juta dana milik SRC International (SRC).

Dalam pada itu, portal Free Malaysia Today (FMT) melaporkan kenyataan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Encik Muhammad Rafique Rashid Ali, yang mencabar Encik Najib menamakan setiap individu yang menjadi dalang dan bersekongkol dalam menutup skandal kes 1MDB, sekiranya mahu dimaafkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg