Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: Orang minta maaf takkan saya kata tak terima?

Anwar berkata beliau terima baik permohonan maaf daripada Najib adalah bagi tunjuk contoh sifat pemimpin yang baik
Oct 28, 2024 | 10:26 AM
Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim - Foto fail

IPOH: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ungkapan penerimaan maaf daripada bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak ke atasnya mengenai kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah atas dasar menunjukkan contoh pimpinan yang baik.

Datuk Anwar berkata ungkapannya menerima baik permohonan maaf daripada Najib adalah bagi menunjukkan contoh sifat pemimpin yang baik, khususnya dalam situasi terdapat pihak lain mengemukakan permohonan secara baik.

Datuk Anwar dalam pada itu menyelar pihak yang mempertikai penerimaan maaf itu dengan kembali mempersoalkan kewajaran untuk dirinya menyatakan maaf itu tidak diterima, selain daripada menyatakan bahawa keputusan berhubung pengampunan Najib seharusnya terserah kepada pihak Lembaga Pengampunan dan Yang di-Pertuan Agong.

“Ada dua tiga orang ini umpamanya, bila saya sebut berhubung kes baru-baru ini apabila Datuk Seri Najib buat kenyataan meminta maaf atas apa yang berlaku dalam 1MDB dan sebagainya.... uuiish dia marah, ...bebal tak tentu arah, terus nak marah.

“Orang minta maaf pada kita, takkan hendak kata ‘aku tak terima’ ... ini apa perangai, manusia apa ini? Saya perdana menteri, saya ‘bapa’ pada negara.... (bila) orang cakap macam itu (mohon maaf) saya nak buat apa? Saya kata ‘kita terima baiklah’.

“Soal mahkamah, mahkamahlah. Soal keputusan Lembaga Pengampunan, (maka) Yang di-Pertuan Agonglah. Namun sebagai orang yang mempunyai amanah, harus saya jawab dengan penuh tanggungjawab bila orang buat kenyataan baik maka kita sambut dengan baik. Itu contoh pimpinan yang baik,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Anwar berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Perak di Hotel Kinta Riverfront pada 27 Oktober.

Jumaat lalu media melaporkan Datuk Anwar menerima baik permohonan maaf secara terbuka Najib berhubung kejadian salah laku dalam 1MDB.

Kenyataan Najib dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar, dengan menyatakan Najib kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan eksekutif Petrosaudi.

Penerimaan Datuk Anwar terhadap permohonan maaf Najib berhubung skandal 1MDB mendapat kritikan sesetengah pihak, dengan mengatakan bahawa Datuk Anwar tidak mempunyai kuasa menerima permohonan maaf sedemikian.

Sebagai respons, beliau menyifatkan mereka yang mengkritiknya kerana menerima permohonan maaf Najib sebagai ‘bebal’ kerana hanya mencari alasan untuk marah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg