KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin, menafikan wujud perpecahan dalam parti itu sepanjang tempoh pemilihan pimpinan yang berakhir pada 2 November.
Katanya, apa yang penting pada masa ini adalah untuk barisan kepimpinan baru fokus ke hadapan dan memperkukuh parti supaya sentiasa dekat dengan rakyat selain berdepan pilihan raya umum Ke-16 (PRU16).
“Sebelum ini tiada perpecahan. Apa yang penting, kita bersama kepimpinan baru ini menyusun (strategi) dalam tempoh yang ada ini untuk memastikan parti terus kuat.
“Dalam apa-apa perjuangan perlu fokus ke depan. Ia akan ada kiri kanan, macam-macam cerita didengar tapi fokusnya adalah untuk parti menjadi lebih kukuh,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengumuman keputusan pemilihan Bersatu oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) di ibu pejabat parti tersebut di sini pada 4 November.
Datuk Radzi ditanya sama ada kepimpinan baru Bersatu akan memastikan tiada lagi perpecahan dalam parti itu, yang dikatakan wujud menjelang pemilihan.
Sebelum ini, wujud dakwaan terdapat dua kem dalam Bersatu, iaitu kumpulan yang menyokong Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang sebelum ini ialah Setiausaha Agung parti dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang sebelum ini Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
Pada pemilihan peringkat pusat dan bahagian Bersatu untuk penggal 2024-2027 pada 2 November, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kekal meneraju Bersatu sebagai Presiden, bersama gandingan baru, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang memenangi jawatan Timbalan Presiden.
Turut dipilih sebagai Naib Presiden adalah Datuk Mohd Radzi, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Mengenai ahli Bersatu yang keluar parti di beberapa bahagian, yang mungkin memberi kesan kepada parti, Datuk Radzi berkata pihaknya mengambil maklum perkara itu dan akan berusaha menambah gerak kerja pengukuhan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg