Selepas panas dengan kontroversi pemilihan peringkat sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang didakwa tidak telus dan ‘terancang’ sehingga mencetus pertikaian, tumpuan kini terarah kepada pemilihan tertinggi parti itu pada 2 November.
Ketika Bersatu dikatakan ‘berpecah’ dengan dua kem, pertandingan bagi merebut jawatan Naib Presiden, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (AMPT) dan peringkat bahagian parti bagi penggal 2024-2027 dilihat sengit dan kritikal sebagai penentu hala tuju parti itu.
Kem yang dimaksudkan ialah kumpulan yang menyokong Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dan kem Ketua Bersatu Selangor, Datuk Seri Azmin Ali, yang ketika ini tidak menyandang jawatan dalam kepimpinan tertinggi Bersatu dan hanya bertanding mempertahan jawatan Ketua Bersatu bahagian Gombak (Selangor).
Walaupun belum diumum secara rasmi, Datuk Hamzah kini sudah lega dengan kemenangan tanpa pencabar sebagai Timbalan Presiden Bersatu selepas penyandangnya, Datuk Seri Faizal Azumu, memberi laluan kepada Ketua Pembangkang itu.
Tan Sri Muhyiddin Yassin pula yang sebelum ini mahu muka baru menerajui Bersatu, kekal sebagai Presiden, mengambil kira sokongan pimpinan dan akar umbi yang masih mengharapkan pengaruh dan khidmat mantan perdana menteri itu untuk memperkukuh parti.
Datuk Faizal Azumu sebaliknya mendapat sokongan penuh Tan Sri Muhyiddin untuk merebut jawatan Naib Presiden Bersatu, menyaingi enam calon lain termasuk dua penyandang yang bertanding untuk mengekalkan jawatan iaitu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Jawatankuasa Pemilihan Bersatu (JPP) mengesahkan seramai 80 calon bersaing untuk mengisi 20 jawatan AMPT – organisasi penting sebagai pembuat keputusan dalam Bersatu – dengan kem Datuk Hamzah agak popular dan disukai akar umbi diramal mampu menguasai kemenangan.
Penganalisis politik, Profesor Dr Azmi Hassan, berkata biarpun disangkal kepimpinan parti, kewujudan dua kem terbabit yang begitu ketara dan berupaya mengancam kesepaduan parti berpunca daripada keputusan pucuk pimpinan ‘mengehadkan’ demokrasi di peringkat akar umbi.
“Kalau kita lihat kemelut yang dihadapi Bersatu sekarang adalah disebabkan kepimpinan tertinggi kerana mereka telah tentukan siapa yang akan memegang jawatan tertentu. Kemelut ini akan berpanjangan kerana akar umbi merasakan mereka tidak diberikan ruang yang luas untuk memilih kepimpinan.
“Apapun, kem Datuk Azmin menghadapi cabaran besar untuk meraih kepercayaan kerana terpalit isu rasuah Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI)... walaupun tidak dikaitkan secara langsung dengan beliau, tetapi terkait secara persepsinya.
“Jadi, kemungkinan AMPT akan dikuasai kumpulan Datuk Hamzah dan harapannya dengan terhapusnya kumpulan kem Datuk Azmin, reda sedikit kemelut kepimpinan Bersatu,” katanya kepada Berita Harian.
Pada pemilihan peringkat sayap Bersatu 26 Oktober lalu, Ahli Parlimen Masjid Tanah (Melaka), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, memenangi jawatan Ketua Srikandi (Pemudi) Bersatu; manakala Encik Muhammad Hilman Idham meraikan kemenangannya dalam kontroversi sebagai Ketua Armada (Pemuda).
Jawatan Ketua Srikandi Muda pula dimenangi Cik Nurul Ezzati Azmi daripada Bersatu bahagian Kapar (Selangor).
Kemenangan Encik Muhammad Hilman yang juga anak didik Datuk Azmin mencetus pertikaian dan bantahan peringkat akar umbi yang mendakwa keputusan itu dimanipulasi JPP selepas pengumumannya dilewatkan.
Dalam keputusan tidak rasmi, Pengerusi Tetap Armada Bersatu, Encik Akmal Zahin Zainal Zahir, memenangi jawatan ketua sayap itu menumpaskan Encik Muhammad Hilman, dengan jumlah undi 2,432 undi.
Bagaimanapun, keputusan rasmi JPP kemudian mengumumkan Encik Muhammad Hilman menang dengan 1,888 undi, manakala Encik Akmal Zahin tewas 1,718.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg