Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gandingan baru barisi kepimpinan Bersatu 2024-2027

Presiden, Timbalan Presiden Bersatu menangi jawatan masing-masing tanpa bertanding
Nov 4, 2024 | 5:42 PM
(Dari kiri) Ahli Parlimen (AP) Beluran (Sabah), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; AP Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; dan Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, memenangi jawatan Naib Presiden Bersatu menewaskan tiga calon lain pada pemilihan peringkat Pusat dan bahagian Bersatu pada 2 November.
(Dari kiri) Ahli Parlimen (AP) Beluran (Sabah), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; AP Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; dan Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, memenangi jawatan Naib Presiden Bersatu menewaskan tiga calon lain pada pemilihan peringkat Pusat dan bahagian Bersatu pada 2 November. - Foto NSTP

Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menepati ramalan apabila memenangi jawatan Naib Presiden, manakala dua lagi iaitu Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berjaya mempertahan jawatan yang sama.

Pada pemilihan peringkat pusat dan bahagian Bersatu untuk penggal 2024-2027 pada 2 November, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kekal meneraju Bersatu sebagai Presiden, bersama gandingan baru, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang memenangi jawatan Timbalan Presiden.

Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Bersatu masing-masing hanya menerima satu pencalonan dengan Tan Sri Muhyiddin serta Datuk Hamzah memenangi jawatan masing-masing tanpa bertanding.

Tan Sri Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen (AP) Pagoh (Johor) kekal menggalas jawatan Ketua Bersatu bahagian Pagoh, manakala Datuk Hamzah merangkap AP Larut (Perak) juga mempertahan jawatan sama bagi Bersatu bahagian Larut.

Datuk Mohd Radzi yang juga AP Putrajaya memperoleh undi tertinggi iaitu 11,690 undi bagi jawatan Naib Presiden, diikuti AP Beluran (Sabah), Datuk Ronald, dengan 11,295 undi.

Datuk Ahmad Faizal selaku Pengerusi Bersatu Perak pula menang dengan 9,278 undi.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, di ibu pejabat Bersatu di Selangor, pada 4 November.

Ketiga-tiga Naib Presiden menewaskan tiga pencabar lain iaitu Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris; Timbalan Ketua Bersatu Selangor, Encik Mohd Rafiq Mohd Abdullah; dan Ketua Bahagian Bersatu Batu Kawan, Encik A’ziss Zainal Abiddin.

Datuk Mohd Radzi, Datuk Ronald dan Datuk Ahmad Faizal turut mempertahankan jawatan Ketua Bersatu di peringkat bahagian masing-masing iaitu Putrajaya, Beluran dan Tambun (Perak).

Pada masa yang sama, Datuk Abdul Azim turut mengumumkan senarai 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (AMPT) yang menang pada pemilihan itu, daripada 80 calon yang bertanding.

Antara nama yang memenangi jawatan AMPT ialah mantan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan daripada Bersatu bahagian Tasik Gelugor (Pulau Pinang); mantan Ketua Armada (Pemuda) Bersatu, Encik Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal; dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah dari bahagian Indera Mahkota (Pahang).

Turut memenangi jawatan AMPT ialah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dari Bersatu bahagian Tanah Merah (Kelantan) yang menduduki tangga pertama menerima undian tertinggi; Datuk Rosol Wahid dari Bersatu Hulu Terengganu (Terengganu); dan Dr Afif Bahardin (Shah Alam, Selangor).

Pilihan raya negeri (PRN) Sabah akan menjadi medan ujian terawal untuk kepimpinan baru Bersatu membuktikan kemampuan menyaingi pihak lawan terutama gandingan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), yang mewujudkan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Datuk Abdul Azim berkata ini adalah pemilihan kali kedua untuk Bersatu dan mengakui wujud kelemahan yang perlu ditangani pada masa akan datang.

Menurutnya, sejumlah 169 bahagian berjaya bersidang menjalankan pengundian dan pemilihan pada kali ini, dengan sejumlah 74 daripadanya menjalankan pengundian peringkat bahagian, manakala bakinya mencatat kemenangan tanpa bertanding bagi semua jawatan.

Sebanyak 10 lagi bahagian Bersatu yang digantung sebelum ini akan mengadakan persidangan dan pemilihan pucuk pimpinan parti itu pada Disember 2024, dengan peringkat cawangan bahagian berkenaan boleh memulakan mesyuarat semula mulai 7 November.

Sepuluh bahagian terlibat ialah Jasin, Tapah, Teluk Intan, Machang, Bukit Mertajam, Bukit Bendera, Tanjong, Cameron Highlands termasuk Hulu Langat dan Kota Melaka.

“Peratusan kehadiran berdasarkan jumlah undi diterima dan jumlah perwakilan yang layak hadir ialah 29,717 perwakilan, maka nisbahnya 61 peratus.

“JPP juga telah menerima sejumlah 31 aduan dan bantahan dalam tempoh yang dibenarkan. Banyak kelemahan perlu ditangani, namun janganlah kita memperdaya diri sendiri dengan kekuatan di akar umbi dan permasalahan terutama dalam kita menuju pilihan raya akan datang,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg