KOTA BHARU: Tiga kes kematian akibat banjir direkodkan dalam tempoh monsun timur laut bermula 21 November hingga 25 Disember.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata kes terbabit membabitkan seorang kanak-kanak lelaki di Kubang Kerian, Kota Bharu, dan dua kanak-kanak perempuan di Pasir Mas.
“Empat lagi kes kematian adalah mangsa mati lemas dan mati mengejut tetapi bukan akibat banjir.
“Justeru itu, orang ramai dinasihatkan agar cakna (mengambil berat) mengenai keselamatan anak-anak di bawah jagaan masing-masing yang bermain air tanpa pengawasan serta sentiasa berwaspada dan patuh pada arahan serta panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
“Orang ramai terutamanya golongan remaja bermotosikal diingatkan supaya tidak pergi ke tempat banjir dan seolah-olah berpesta kerana perbuatan itu akan mengundang risiko kemalangan.
“Ia juga mengganggu kelancaran kenderaan petugas sekali gus akan merencatkan kerja menyelamat dan perpindahan mangsa banjir,” katanya menerusi satu kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau juga berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi musim monsun kali ini yang bermula pada pertengahan November dan dijangka berakhir pada Mac 2024.
Dalam satu kejadian berasingan, lima beranak terpaksa berhimpit untuk tidur di dalam kereta selepas kediaman mereka di Kampung Gual Periok, Kelantan, dilanda banjir sejak malam 25 Disember.
Encik Roslan Deraman, 43 tahun, berkata beliau dan isteri, Cik Suhaida Mustafa, 39 tahun, mengambil keputusan bermalam di dalam kereta selepas kediaman dimasuki air separas 0.7 meter, manakala tingkat atas dipenuhi barangan yang diangkat daripada ditenggelami banjir.
Menurutnya, beliau tidak menyangka air boleh naik setinggi itu dengan mendadak serta tidak sempat mendaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) selain dimaklumkan bahawa di situ sudah penuh dengan mangsa banjir.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg