LENGGONG (Perak): Tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia maut selepas terperangkap dalam lubang pembetung di sebuah resort yang sedang dalam pembinaan di Kampung Ibol, Sumpitan, di sini, pada pagi 6 April.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Encik Sabarodzi Nor Ahmad, berkata dua daripada mangsa warga tempatan berusia 29 dan 37 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, sementara warga Indonesia meninggal dunia di hospital.
Menurutnya, kejadian berlaku semasa ketiga-tiga mangsa yang maut itu sedang melakukan kerja pembersihan di sebuah resort baru yang sedang dibina.
Empat rakan setugas yang terselamat turut merupakan antara ketujuh-tujuh mangsa yang terperangkap dalam lubang pembetung itu.
“Maklumat yang diterima mengatakan terdapat seramai tujuh orang mangsa terperangkap di dalam lubang pembetung semasa melakukan kerja pembersihan di resort yang sedang dibina itu.
“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, kami dimaklumkan bahawa lima daripada tujuh yang terperangkap sudah dibawa keluar oleh orang awam dan dihantar ke klinik kesihatan berdekatan untuk menerima rawatan.
“Manakala terdapat dua orang pekerja masih terperangkap di dalam lubang pembetung itu, namun kedua-dua mangsa terakhir itu dikeluarkan dari pembetung berkenaan oleh anggota bomba, dengan mereka disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan...,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Harian Metro.
Menurutnya, lubang pembetung berkenaan dianggarkan bersaiz 5.2 meter panjang, 4.1 meter lebar, dengan kedalaman 2.4 meter.
Menurutnya, enam anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong digerakkan ke lokasi sebaik panggilan diterima 10.08 pagi.
Beliau berkata tindakan operasi termasuk dengan melaksanakan pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap terhadap anggota berserta alat pernafasan untuk turun ke dalam lubang pembetung berkenaan bagi mengeluarkan mangsa.
“Anggota kemudiannya mengikat mangsa dengan menggunakan tali dan menarik mangsa keluar dari lubang pembetung.
“Sejurus mangsa berjaya dikeluarkan, mereka kemudian diperiksa oleh pasukan perubatan yang mengesahkan kematian kedua-duanya, sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Gerik, sementara selebihnya yang cedera dihantar ke Klinik Kesihatan berhampiran.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg