Tragedi lubang benam di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, yang menyebabkan seorang pelancong wanita ghaib, sudah tiga bulan berlalu, namun kesan kejadian malang itu masih dirasai peniaga di lokasi tumpuan pelancong itu.
Insiden malang pada 23 Ogos yang mengorbankan Cik G Vijaya Lakshmi, 48 tahun, warga India yang hilang tanpa jejak selepas terjatuh dalam lubang benam sedalam lapan meter di situ, masih meninggalkan trauma buat peniaga, penduduk dan pengunjung termasuklah pelancong.
Walaupun situasi semakin pulih, peniaga di Jalan Masjid India mengakui masih bergelut dengan kesan kejadian yang menyebabkan Jalan Masjid India kurang menerima pengunjung.
Sebahagian besar perniagaan di Jalan Masjid India dimonopoli perusahaan barangan kemas, pakaian dan pusat sehenti untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan yang dibawa masuk dari India.
Berita Minggu (BM) yang meninjau Jalan Masjid India mendapati lokasi itu masih didatangi pengunjung, namun tidak semeriah sebelum kejadian.
Sejak kejadian tanah jerlus itu, sebahagian Jalan Masjid India yang sebelum ini ditutup sudah kembali dibuka kepada orang awam bermula 10 November.
Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pembukaan itu dibuat setelah kerja-kerja pembaikan dan penyiasatan tanah di kawasan tersebut selesai dilakukan.
Bagaimanapun, tinjauan BM mendapati lokasi lubang benam yang masih dalam pembaikan masih ditutup dengan penghadang di kiri kanan sepanjang kira-kira 100 meter.
Rata-rata peniaga dan penduduk di destinasi tumpuan pelancong itu mengakui masih dihantui rasa bimbang antara risiko keselamatan mereka dan prestasi perniagaan yang kian merosot.
Namun, apa yang dikagumi ialah kecekalan mereka untuk bertahan meneruskan perniagaan walaupun berdepan cabaran sedemikian, mentelah kebanyakan perusahaan di situ sudah berusia puluhan tahun.
Presiden Persatuan Perniagaan Emas dan Permata India Malaysia (Migja), Datuk Abdul Rasull Abdul Razak, mendakwa kejadian lubang benam itu benar-benar menjejas lebih 40 peniaga emas dan permata di Jalan Masjid India, yang juga dikenali sebagai gold souk atau hab jualan barangan kemas di Asia.
Menurut beliau sejak insiden itu, perniagaan kedai emas dan permata di situ merosot teruk dan sehingga kini belum mampu mencapai 50 peratus jualan walaupun pada musim cuti dan perayaan seperti Deepavali, berbanding hasil jualan sebelum kejadian sekitar RM200,000 ($59,925) hingga RM3 juta sehari.
Katanya, tragedi itu meninggalkan ketakutan kekal (permanent fear) kepada orang ramai terutama sejumlah besar pelancong dari India, Sri Lanka, Bangladesh, Pakistan dan Singapura, yang lazimnya menjadikan Jalan Masjid India antara destinasi wajib kunjung buat mereka ketika melawat Malaysia.
Justeru katanya kerajaan Malaysia perlu membantu mempromosi Jalan Masjid India secara agresif untuk memulihkan kembali tanggapan pelancong terhadap imej dan keselamatan lokasi tarikan pelancongan itu.
“Kesan kejadian tanah jerlus itu menjejas keyakinan pelancong untuk datang ke Jalan Masjid India. Apa yang kita harapkan ialah kerajaan segera bantu pulihkan kembali kegemilangan Jalan Masjid India sebagai tarikan pelancong.
“Kejadian malang itu juga telah menyebabkan nilai hartanah di Jalan Masjid India merudum,” kongsinya kepada BM.
Peniaga barangan mainan dan perhiasan wanita, Cik Anisa Jammang, 47 tahun, mengakui kemeriahan Jalan Masjid India tidak lagi gah seperti dulu, terutama sejak kejadian tanah jerlus yang mendapat perhatian masyarakat antarabangsa, termasuk di Singapura dan India.
Katanya, yang berasal dari Sabah, selepas pandemik Covid-19 perniagaan mereka memang perlahan, namun kejadian lubang benam itu menambah parah kemelesetan perniagaan mereka.
“Tak tahu nak cakap macam mana. Sekarang saya ada banyak masa untuk tidur dan main game (permainan) di kedai kerana tiada pengunjung.
“Kalau dulu penat melayan pelanggan, sekarang kami penat menunggu pelanggan yang tak kunjung tiba,” katanya yang sudah lebih 20 tahun berniaga di situ.
Kakitangan MK Inn Hotel, Cik Soffiah Sulaiman, 48 tahun, berkata selepas tragedi lubang benam, kadar penginapan di hotel bajet berkenaan merudum 70 peratus walaupun pada cuti panjang dan musim perayaan, berbeza dengan kebiasaan apabila bilik hotel sentiasa penuh ditempah.
“Sejak kejadian, kami kerap terima panggilan daripada pelanggan yang bertanya kedudukan hotel ini dengan lokasi kejadian lubang benam. Memang hotel ini hampir dengan tempat kejadian. Jadi kebanyakan pelancong takut hendak menginap di sini.
“Hotel ini sebelumnya popular dalam kalangan pelancong dari Brunei, India dan Indonesia. Apabila tular mengenai kejadian tanah jerlus itu, orang takut hendak datang walaupun kami buat promosi menurunkan harga bilik,” katanya.
Namun, jika ramai yang takut untuk mengunjungi Jalan Masjid India, seorang warga Malaysia, Cik Zaitun Hamzah, 29 tahun, pula tidak bimbang isu keselamatan dan menganggap kejadian lubang benam itu sebagai insiden terpencil.
“Jalan Masjid India ini adalah tempat wajib kami datang paling tidak setahun tiga atau empat kali terutama untuk beli persiapan Hari Raya dan Deepavali. Kali ini saya datang untuk beli persiapan perkahwinan bertema Bollywood. Kalau nak kata takut ke sini, saya tidak rasa begitu kerana bagi saya kejadian itu di luar kawalan kita.
“Saya yakin Jalan Masjid India selamat untuk dikunjungi. Lagipun tiada tempat lain selengkap Jalan Masjid India untuk kami dapatkan barangan keperluan yang sinonim dengan masyarakat India. Di sini semua ada,” katanya yang datang dari Johor.
Walaupun masih ramai was-was untuk menjejak kaki ke Jalan Masjid India selepas tragedi malang itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, buat kesekian kalinya memberi jaminan kawasan di Jalan Masjid India selamat untuk semua bentuk aktiviti.
Menurutnya, ini disahkan berdasarkan kajian dijalankan Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.
Katanya, perkara itu juga selepas mengambil kira pandangan kepakaran secara kolektif oleh pelbagai agensi serta pertubuhan profesional seperti Institusi Jurutera Malaysia (IEM) dan Pertubuhan Geoteknikal Malaysia (MGS).
Dr Zaliha juga berkata DBKL akan memulakan kajian geoteknikal secara terperinci di kawasan segi tiga emas di Kuala Lumpur, termasuk di Jalan Masjid India, bermula 2025,
Menurutnya semua pemaju juga perlu mematuhi syarat baru permohonan kebenaran merancang berkuat kuasa serta-merta selepas insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, bagi mengurangkan risiko berlaku insiden tidak diingini.
“Jangan risau. KL (Kuala Lumpur), Jalan Masjid India, selamat untuk dikunjungi,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg