PUTRAJAYA: Sebuah lubang benam dengan kedalaman satu meter dikesan berhampiran Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.
Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi satu hantaran di Facebook pada 25 September, memaklumkan lubang benam itu dikesan dekat laluan FT26 di jalan masuk Kompleks Bunga Raya.
Laluan di sekitar kawasan itu masih boleh digunakan, namun jalan berhampiran lubang benam terbabit sudah ditutup.
“Pemeriksaan di tapak mendapati terdapat satu ‘manhole’ kumbahan milik KLIA yang berada berhampiran kawasan lubang benam.
“Disyaki kebocoran paip kumbahan menjadi punca lubang benam,” menurut KKR.
Menurut makluman itu lagi, kejadian lubang benam terbabit sudah dimaklumkan kepada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang sudah melaksanakan pemasangan pelan pengurusan trafik di kawasan kejadian.
“Laporan terperinci akan dikeluarkan MAHB selepas selesai siasatan, manakala Jabatan Kerja Raya akan memberikan bantuan sekiranya diperlukan MAHB,” menurut hantaran itu lagi, lapor Berita Harian Malaysia.
Punca sebenar kejadian bagaimanapun masih dalam siasatan.
Sebelum ini pada 23 Ogos, berlaku satu kejadian tanah jerlus sedalam lapan meter di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur yang telah mengorbankan seorang pelancong India, Cik G.Vijaya Lakshmi, 48 tahun, yang hilang selepas terjatuh akibat kejadian tanah jerlus ketika berjalan kaki di lokasi terbabit.
Selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan selama sembilan hari dan tidak berhasil menemukan mangsa, ia dihentikan pada 31 Ogos lalu selepas pihak berkuasa mengambil kira pelbagai faktor, termasuk keselamatan anggota pasukan SAR.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg