IPOH: Kejadian seorang ahli politik didakwa melakukan ugutan jenayah dengan menunjukkan pistol pada pemilihan jawatankuasa sebuah parti politik di Tambun, Perak, dikatakan berpunca daripada salah faham dan provokasi antara pengadu dengan suspek.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata berdasarkan siasatan awal polis, pengadu hadir ke lokasi kejadian di Dewan Komuniti dekat kawasan Tanjung Rambutan, Ipoh, bagi memantau proses pemilihan jawatankuasa parti politik berkenaan.
Menurut beliau, walaupun motif kejadian masih dalam siasatan, namun siasatan awal mendapati suspek iaitu ahli politik kenaan, dikatakan melihat penyokong di pihak pengadu membuat halangan bagi mengelakkan orang ramai daripada masuk ke dewan.
Datuk Noor Hisam berkata berikutan itu ahli politik berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kinta, Encik Muhamad Arafat Varisai Mahamad, kemudian didakwa mengeluarkan objek menyerupai pistol dari bahagian pinggang belakang badannya dan menyerahkannya kepada pembantu peribadinya yang berada di belakang.
“Menurut mangsa (pengadu), tindakan suspek (ahli politik) terbabit menimbulkan rasa takut terhadap dirinya dan rakannya yang turut berada di tempat kejadian.
“Semasa di lokasi, berlaku salah faham dan provokasi antara mangsa dengan suspek,” katanya dalam kenyataan pada 14 April, lapor Harian Metro.
Datuk Noor Hisam berkata ketika ini polis sudah merakam keterangan daripada saksi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan ugutan jenayah.
Terdahulu, Datuk Noor Hisam mengesahkan polis akan merakam percakapan Encik Muhamad Arafat berhubung dakwaan melakukan ugutan jenayah dengan menunjukkan pistol terhadap beberapa individu baru-baru ini.
Sementara itu dalam perkembangan kes berasingan, Datuk Noor Hisam, berkata polis percaya penahanan dua lelaki termasuk warga Taiwan yang disyaki orang suruhan ‘along’ atau ceti haram dari negara jiran, pada 12 April lalu, dapat menyelesaikan lapan kes khianat dengan api di Perak.
Beliau berkata suspek dikatakan membakar bahagian hadapan sebuah rumah dihuni wanita warga emas berusia 62 tahun dengan melontar bom petrol pada 4 April.
Menurutnya suspek pertama iaitu lelaki tempatan berumur 37 tahun ditangkap di sebuah hospital swasta di Ipoh, manakala suspek kedua berusia 26 tahun iaitu lelaki warga Taiwan, ditahan di kawasan perumahan di Chemor, Perak, pada hari sama.
Menurutnya, semasa tangkapan dilakukan, pasukan serbuan turut merampas pelbagai barangan antaranya sebuah kereta Proton Iswara; tiga telefon bimbit (tiga); nota ugutan dan tong berisi petrol.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg