Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga pembunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati kekal ke tali gantung

Oct 9, 2024 | 2:02 PM
Mahkamah Persekutuan pada 8 Oktober mengekalkan hukuman gantung sampai mati bagi N. Pathmanabhan (depan) dan T. Thilaiyalagan kerana  membunuh jutawan kosmetik Malaysia, Datuk Sosilawati Lawiya (gambar sisipan), dan tiga lagi mangsa pada 2010.
Mahkamah Persekutuan pada 8 Oktober mengekalkan hukuman gantung sampai mati bagi N. Pathmanabhan (depan) dan T. Thilaiyalagan kerana membunuh jutawan kosmetik Malaysia, Datuk Sosilawati Lawiya (gambar sisipan), dan tiga lagi mangsa pada 2010. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Bekas peguam, N. Pathmanabhan, dan dua lagi lelaki kekal akan dihukum gantung sampai mati atas kesalahan membunuh jutawan kosmetik Malaysia, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, dan tiga lagi orang pada 2010.

Ini setelah rayuan mereka terhadap hukuman itu ditolak panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebagai pengerusi, Hakim Datuk Nordin Hassan dan Hakim Datuk Abu Bakar Jais.

Dalam penghakiman itu, Tun Tengku Maimun, yang membacakan keputusan, berkata panel itu sebulat suara menolak permohonan rayuan terhadap hukuman mati ke atas Pathmanabhan, 55 tahun, dan T. Thilaiyalagan, 33 tahun, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Sosilawati dibunuh dengan kejam bersama tiga rakannya di Morib, Selangor, pada September 2010. Mayat mangsa dibuang dan dibakar di sebuah ladang ternakan ayam dekat Tanjung Layang, Morib.

Tiga rakan Allahyarham Datuk Sosilawati, yang dilaporkan hilang pada 30 Ogos 2010 sebelum disahkan telah dibunuh dan mayat mereka dibakar, ialah pegawai bank, Allahyarham Noorhisham Mohamad; peguam, Allahyarham Ahmad Kamil Abdul Karim; dan pemandu, Allahyarham Kamaruddin Shamsuddin.

Pathmanabhan dan Thilaiyalagan memohon hukuman mati itu diganti dengan hukuman penjara berikutan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang berkuat kuasa pada 4 Julai 2023.

Di bawah undang-undang baru itu, hakim mempunyai budi bicara untuk mengenakan hukuman mati atau penjara antara 30 tahun dengan 40 tahun beserta sebat tidak kurang 12 kali bagi pesalah lelaki berusia di bawah 50 tahun.

Seorang lagi pesalah, R. Kathavarayan, yang pada mulanya memfailkan permohonan semakan sama menarik balik permohonan itu. Justeru, hukuman mati terhadap bekas pekerja ladang berusia 44 tahun itu kekal seperti diputuskan Mahkamah Persekutuan pada 16 Mac 2017.

Sementara itu, anak Datuk Sosilawati bersyukur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadap pesalah kes pembunuhan ibunya.

Datin Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 39 tahun, dalam hantarannya di Instagram meluahkan rasa syukur sebaik sahaja mendapat tahun mengenai keputusan berkenaan.

“Terima kasih ya Allah kerana Engkau telah memakbulkan doaku pada masa yang tepat. Aku sangat bersyukur.

“Keputusan ini adalah satu keadilan kepada kami dan juga kepada keluarga mangsa yang lain. Ini juga sebagai pengajaran kepada masyarakat bahawa segala perbuatan dan tindakan kita tidak boleh sama sekali melampaui kedaulatan undang-undang,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg