Topik diikuti
Pergi ke BHkuTimbalan Pengerusi NGO antara tiga ditahan kes seleweng dana zakat RM230j
Timbalan Pengerusi NGO antara tiga ditahan kes seleweng dana zakat RM230j
Timbalan Pengerusi NGO antara tiga ditahan kes seleweng dana zakat RM230j
SHAH ALAM: Timbalan Pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) merupakan antara tiga yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta ($73.98 juta).
Menurut sumber, SPRM turut membekukan 33 akaun bank berjumlah kira-kira RM120 juta.
Tangkapan itu juga dikatakan dibuat terhadap dua lelaki berumur dalam lingkungan 50-an dan 60-an tahun, antara 3 dengan 5 petang di sekitar Lembah Klang, pada 21 April.
Beliau berkata seorang lagi suspek lelaki berumur lingkungan 50-an tahun ditahan pada 2 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
SPRM dikatakan turut menyita 18 unit kenderaan mewah, antaranya Porsche, Range Rover dan Mercedes, selain rumah bernilai kira-kira RM11 juta serta pelbagai harta lain yang boleh dialih termasuk wang tunai dan jam tangan berjenama, tambah sumber.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek, yang dua daripadanya merupakan pengarah syarikat, disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara 2018 dengan 2024.
“Siasatan turut mendapati Timbalan Pengerusi NGO tersebut telah memindahkan RM230 juta ke dalam akaun syarikatnya bagi tujuan pelaburan dan juga tujuan peribadi,” kata sumber itu, lapor Harian Metro.
Sumber tersebut menambah, siasatan kini tertumpu kepada kemungkinan berlaku penyelewengan dana awam kerana NGO berkenaan ialah pertubuhan yang mengutip sumbangan orang ramai untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli, ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek itu dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor, pada 22 April untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
Sementara itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Encik Jais Abdul Karim, menzahirkan kebimbangan mendalam berhubung pendedahan skandal penyelewengan dana zakat RM230 juta itu, yang didakwa dimanipulasi atas nama pelaburan bagi kepentingan peribadi.
“Kes membabitkan penyitaan kenderaan mewah dan pembekuan akaun bernilai ratusan juta ringgit itu disifatkan bukan sekadar ‘terlepas pandang’, sebaliknya petanda wujudnya kerosakan kewibawaan yang serius dalam institusi agama.
“Ini bukan sekadar isu teknikal. Tindakan ‘melaburkan’ dana suci asnaf sehingga bercampur aduk dengan kepentingan peribadi adalah satu pencabulan amanah yang berat.
“Persoalan utama yang timbul adalah bagaimana sistem sedia ada membenarkan pemindahan dana sebesar itu berlaku tanpa kawalan ketat?” katanya dalam kenyataan pada 22 April.
MCW memberi amaran sekiranya sistem tidak diperbetulkan segera, negara bakal menyaksikan krisis kepercayaan lebih besar terhadap institusi agama, memandangkan zakat adalah amanah suci yang tidak sepatutnya diuruskan sesuka hati.
