Wakaf adalah ibadah mulia dengan seseorang mengamanahkan harta atau wang ringgit ringgit untuk dimanfaatkan oleh masyarakat secara berterusan.
Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) yang dilancarkan secara rasmi pada 3 Ogos 2024, ditubuhkan dengan matlamat memenuhi keperluan jangka panjang masjid, madrasah, pembangunan asatizah serta daya usaha yang dapat meningkatkan kesejahteraan masyarakat Muslim di Singapura.
Wakaf memainkan peranan penting dalam membina masa depan masyarakat Islam.
Namun begitu, masih wujud beberapa salah tanggapan mengenainya yang perlu diperbetulkan.
Pertama, ramai beranggapan dana sedia ada mencukupi untuk memenuhi keperluan masyarakat pada masa depan.
Kedua, masyarakat Islam Singapura tidak memiliki aset besar untuk berwakaf.
Ketiga, perancangan legasi terhad kepada agihan faraid sahaja.
Semua ini kurang tepat.
Menghuraikan salah tanggapan dan isu berkaitan, Ketua Unit Wakaf Masyarakat Singapura, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Cik Nur Ayuni Affandi Salleh, berkata:
“Dana Pembangunan Masjid dan Mendaki (MBMF) adalah dana yang menyokong pembinaan, pembangunan dan peningkatan masjid dan untuk program pendidikan dan sosial yang dikendalikan Mendaki.
“Penggunaan dana ini tidak boleh diubah sewenang-wenangnya.
“Begitu juga dengan wang zakat yang khusus untuk lapan asnaf dan wang tabung masjid yang menampung keperluan operasi harian masjid.”
Menurutnya, dana tersebut hanya memenuhi keperluan masa kini.
Masih belum ada dana khusus diperuntuk bagi memenuhi keperluan jangka panjang masyarakat.
Keperluan jangka panjang itu termasuk melanjutkan pajakan tanah masjid yang bakal luput, pendidikan Islam termasuk pembangunan asatizah, pembangunan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) dan membantu program sosioagama yang memperkasa masyarakat.
“Dengan merosotnya kadar kelahiran di Singapura, jumlah pekerja di Singapura juga dijangka berkurangan. Ini bakal menjadikan jumlah penyumbang dana merudum.
“Dengan membentuk Wakaf Masyarakat Singapura, masyarakat dapat membina satu dana endowmen yang boleh berkembang, sekali gus menjadi dana tambahan untuk masa depan,” jelas Cik Nur Ayuni.
Bahkan, tanpa aset besar, masyarakat Islam Singapura sebenarnya masih boleh melakukan wakaf.
“Masyarakat Islam yang mempunyai dana Tabung Simpanan Pekerja (CPF), agihan insurans dan hartanah boleh menyumbang kepada Wakaf Masyarakat Singapura sambil meraih pahala sedekah jariah,”ujarnya.
Faraid bukan satu-satunya alat bagi seseorang Muslim membuat perancangan legasi.
“Terdapat Fatwa yang telah dikeluarkan Muis membenarkan seseorang Muslim membuat penamaan dana CPF dan wang agihan insurans mereka sebagai hibah. Boleh juga meneroka wasiat, namun pembahagian hanya kepada yang bukan penerima faraid dan tidak melebihi sepertiga keseluruhan harta,” kata Cik Nur Ayuni.
Ini bermakna, seseorang boleh menamakan penerima seperti Wakaf Masyarakat Singapura, badan-badan kebajikan Islam, anak angkat, atau saudara bukan Islam sebagai penerima wasiat dalam had sepertiga tersebut.
“Dengan adanya Wakaf Masyarakat Singapura, ini memudahkan sesiapa sahaja menunaikan wakaf,” tambah Cik Nur Ayuni.
Menurutnya, WMS menerima sebarang bentuk sumbangan. Terdapat dua cara untuk menyumbang – Wakaf Kini, dengan seseorang boleh menyumbang secara tunai, dan Wakaf Kemudian, dengan WMS menerima ikrar masyarakat menerusi sumbangan penamaan atau wasiat.
Langkah itu menjadikan WMS wadah bagi seseorang menyumbang legasi mereka dalam bentuk sedekah jariah, yang akan dikekalkan buat selama-lamanya demi masyarakat dan saham akhirat masing-masing.
“Sumbangan kepada WMS dijamin buat selama-lamanya kerana ia akan diurus oleh Muis menerusi satu rangka kerja pentadbiran yang telus dan kukuh,” jelas Cik Ayuni.
Setiap Sumbangan Bermakna
Mulakan wakaf anda hari ini melalui pautan, https://go.gov.sg/wms-bh
1. Untuk pemberian tunai (Wakaf Sekarang):
– Pembayaran digital melalui go.gov.sg/bh-wakaf-sekarang
– Cek atas nama ‘Wakaf Masyarakat Singapura (WMS)‘. Sila nyatakan nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan kepada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis),
Singapore Islamic Hub, 273 Braddell Road, Singapura 579702. Kemudian isikan borang go.gov.sg/wmscheque untuk maklumat pihak Muis.
2. Untuk pelaksanaan dan pemberian lain, ia boleh dilakukan melalui penamaan dalam Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan polisi insurans atau melalui penyediaan wasiat.
Langkah 1: Namakan WMS sebagai penerima manfaat dalam CPF, Penamaan Insurans atau Wasiat anda.
Rujuk go.gov.sg/wms-how-to-nominate untuk panduan.
Langkah 2: Gunakan maklumat berikut untuk menamakan WMS.
(UEN): T08GB0028L. Tarikh Pendaftaran: 28 April 2008, Alamat: 273 Braddell Road, Singapura 579702, hubungi talian 6359-1199. E-mel: info@muis.gov.sg.
Langkah 3: Sahkan penamaan kepada WMS dengan menghantar Borang Penamaan Muis di go.gov.sg/muisnomination dengan menyatakan hasrat dan penerima yang dipilih.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg