Bantuan zakat perkasa ibu jamin masa depan anak
Sokongan ringankan beban keluarga hadapi kos rawatan, pendidikan anak
Bagi Cik Hadijah Mohamed Eusope, istilah generasi ‘sandwich’ bukan sekadar teori, namun realiti yang perlu dihadapi setiap hari.
Selain menjaga empat orang anak, Cik Hadijah juga perlu memastikan kedua ibu bapanya yang sudah lanjut usia mendapat penjagaan yang diperlukan di rumah.
Di sebalik tanggungjawab harian, perjuangan terbesar Cik Hadijah tertumpu kepada anak bongsunya, Muhd Hariz Sanusi, 12 tahun, yang dilahirkan dengan spina bifida – keadaan tulang belakang yang tidak terbentuk dengan baik dan menjejas pergerakannya.
Keadaan anak istimewanya itu memerlukan rawatan, terapi dan juga perubatan secara berterusan yang memakan kos tinggi.
Dalam satu episod podcast NoTapis, Cik Hadijah berkongsi kos rawatan Hariz saja boleh mencecah sekitar $500 sebulan.
Ini belum termasuk kasut khas, ankle-foot orthosis (AFO), yang membantu pergerakan dan perkembangan fizikalnya.
“Setiap setahun setengah, kita harus beli AFO baru kerana beliau masih membesar dan memerlukan saiz baru.
“Ini memakan kos yang sangat tinggi secara keseluruhan,” kata beliau yang baru-baru ini berbelanja sekitar $8,000 untuk AFO baru.
Demi Hariz, Cik Hadijah akur dengan nasihat doktor untuk melepaskan kerjayanya 12 tahun lalu bagi menumpukan perhatiannya kepada keperluan rawatan serta temu janji hospital anaknya yang kerap.
Sejak itu, suaminya menjadi satu-satunya pencari nafkah bagi keluarga mereka, termasuk kedua-dua ibu bapanya yang tinggal sebumbung dengan mereka.
Menurut Cik Hadijah, pada awalnya beliau sendiri tidak mengetahui bantuan zakat boleh menjadi salah satu sumber sokongan keluarganya.
“Saya tahu kita bayar zakat setiap tahun, tapi saya tak pernah tahu bagaimana seseorang melakukan permohonan untuk menerima bantuan itu,” katanya.
Beliau hanya mengetahui tentang bantuan tersebut selepas seorang pekerja sosial di hospital menyarankan agar beliau menghubungi pihak masjid untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Permohonan Cik Hadijah sebagai penerima zakat diluluskan dan sejak lebih sedekad lalu, bantuan zakat menjadi antara sokongan penting bagi keluarganya.
Cik Hadijah dan keluarganya merupakan antara sekitar 10,500 penerima yang meraih manfaat daripada pakej sokongan Ramadan bernilai $4.3 juta yang disediakan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 2026.
Menurut beliau, bantuan yang diterima bukan sekadar dalam bentuk wang tunai, malah baucar fidyah yang boleh digunakan untuk membeli makanan keluarga.
“Dengan bantuan zakat ini, kita boleh gunakan wang tunai untuk perkara lain seperti bayar bil atau persekolahan anak.
“Sekurang-kurangnya ada sedikit ruang untuk kami bernafas,” katanya.
Kisah Cik Hadijah mencerminkan realiti yang dihadapi sebahagian keluarga dalam masyarakat, yang kini menghadapi cabaran meningkat dek kos sara hidup yang semakin tinggi.
Menurut Pegawai Pembangunan Sosial (SDO) di Masjid En-Naeem, Ustazah Sarima Jantan, permohonan bantuan zakat meningkat dari semasa ke semasa.
Ustazah Sarima turut menambah, selain kos sara hidup, peningkatan itu juga disebabkan cabaran kesihatan atau pekerjaan yang menjejas kestabilan kewangan keluarga.
Namun, Ustazah Sarima akur kesedaran masyarakat tentang bantuan yang tersedia juga semakin meningkat, sekali gus menyebabkan lebih ramai tampil mendapatkan sokongan apabila memerlukan.
Salah satu faktor yang meningkatkan kesedaran mengenai bantuan yang tersedia ialah usaha proaktif masjid mengadakan lawatan dari rumah ke rumah bagi memaklumkan penduduk tentang program serta bantuan zakat.
Namun begitu, bukan mudah bagi seseorang untuk tampil meminta bantuan.
“Memang bukan mudah untuk seseorang datang ke masjid dan berkongsi masalah mereka.
“Kita memahami keadaan mereka dan setiap kes dinilai tanpa sebarang penghakiman.
“Jika mereka layak menerima bantuan tetapi belum bersedia, tidak mengapa.
“Kami akan menunggu dan bersedia saja untuk menerima mereka apabila mereka sudah bersedia,” jelas beliau.
Ustazah Sarima berkata zakat bukan sekadar kewajipan agama, malah satu bentuk jaringan keselamatan sosial dalam masyarakat.
Menurutnya, sistem zakat membantu memastikan golongan memerlukan tidak terpinggir, di samping mengurangkan jurang ketidaksamaan dalam masyarakat.
“Kita tidak tahu, mungkin sumbangan yang kecil daripada seseorang sebenarnya mampu membantu sebuah keluarga meneruskan kehidupan,” katanya.
Bagi Cik Hadijah pula, bantuan zakat yang diterima bukan sahaja membantu menampung keperluan harian, malah memberi peluang kepada beliau dan suami memastikan masa depan anak mereka masih terjamin.
“Bila saya dengan suami fikirkan tentang anak, kami tak mahu mereka terhad hanya kerana keadaan kewangan kami.
“Kami mahu mereka terus bersekolah sejauh yang mampu.
“Alhamdulillah sekarang anak pun masih bersekolah dan dapat ikut bidang masing-masing,” katanya.
Beliau berharap peluang pendidikan yang diterima anaknya hari ini akan membuka ruang buat mereka untuk berdikari pada masa hadapan dan suatu hari nanti menyumbang kembali kepada masyarakat mengikut kemampuan mereka.
“
Dengan bantuan zakat ini, kita boleh gunakan wang tunai untuk perkara lain seperti bayar bil atau persekolahan anak. Sekurang-kurangnya ada sedikit ruang untuk kami bernafas.
