Topik diikuti
Pergi ke BHkuTinjauan: PM Anwar kekal pemimpin politik raih sokongan tertinggi di M’sia
Tinjauan: PM Anwar kekal pemimpin politik raih sokongan tertinggi di M’sia
Tinjauan: PM Anwar kekal pemimpin politik raih sokongan tertinggi di M’sia
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terus mendapat penarafan positif apabila mencatat kadar sokongan tertinggi, iaitu 52 peratus berbanding pemimpin politik lain di negara itu, menurut tinjauan terbaharu Merdeka Center yang dikeluarkan pada 25 Jun.
Tinjauan awam nasional yang dijalankan dari 12 Mac hingga 9 April lalu melibatkan 1,209 responden, meletakkan Datuk Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) di hadapan enam pemimpin lain yang diselidik.
Mantan Ketua Pemuda Umno yang kini kembali aktif, Encik Khairy Jamaluddin, berada di tempat kedua dengan kadar sokongan 50 peratus, diikuti oleh mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 36 peratus, lapor portal berita Free Malaysia Today.
Mantan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Datuk Anwar untuk menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) pada Mei lalu, merekodkan kadar sokongan sebanyak 32 peratus.
Manakala pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Menteri Besar Terengganu dari Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memperoleh kadar sokongan 28 peratus, sementara Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pula pada kadar 25 peratus.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berada pada kadar penerimaan terendah iaitu hanya 24 peratus, dengan 61 peratus responden menyatakan rasa tidak puas hati terhadap prestasinya.
Meskipun berdepan ketidaktentuan antarabangsa dan cabaran ekonomi semakin meningkat, 47 peratus responden menyatakan Malaysia berada di landasan betul, tidak berubah daripada tinjauan dijalankan pada Disember 2025 dan Februari 2026.
Namun, 50 peratus lagi berpendapat negara berada di landasan salah.
Merdeka Center berkata, penemuan itu bagaimanapun menunjukkan peningkatan berbanding pertengahan 2025, apabila kurang daripada empat dalam sepuluh rakyat Malaysia percaya negara sedang menuju ke arah yang betul.
Dalam kalangan responden yang berpandangan negara sedang menuju ke landasan salah, 53 peratus memberikan alasan faktor ekonomi seperti situasi ekonomi, kos sara hidup dan harga bahan api.
Dalam pada itu, 73 peratus responden mengenal pasti isu ekonomi sebagai masalah tunggal terbesar dihadapi rakyat Malaysia.
Tahap kepuasan terhadap cara kerajaan mengendalikan ekonomi berada pada kadar 46 peratus, berbanding 51 peratus yang tidak berpuas hati.
Tahap kepuasan secara keseluruhan terhadap Kerajaan Persekutuan dilihat seimbang, dengan 50 peratus berpuas hati dan 48 peratus sebaliknya.
