JOHOR BAHRU: Penjawat awam di Johor akan mendapat cuti tambahan pada 6 Januari ini sempena peralihan cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad yang bermula 1 Januari 2025.
Pekeliling rasmi mengenai cuti gantian telah dikeluarkan Jabatan Pengurusan Sumber Manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Johor, Encik Lee Ting Han, mengesahkan perkara itu, lapor The Star.
“Kerajaan negeri Johor bersetuju menetapkan 6 Januari sebagai cuti khas gantian hanya untuk penjawat awam di Johor berikutan peralihan cuti hujung minggu dari Jumaat-Sabtu kepada Sabtu-Ahad,” kata Encik Lee.
Pekeliling itu menyatakan cuti gantian itu berikutan tempoh peralihan antara minggu terakhir 2024 dan minggu pertama 2025, yang mana penjawat awam akan bekerja selama enam hari termasuk Jumaat.
Difahamkan, sekolah juga akan ditutup pada hari tersebut, tetapi cuti khas itu tidak menjejas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang berlangsung.
Pada 7 Oktober 2024, Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mengumumkan perubahan cuti hujung minggu di Johor yang ditetapkan pada Sabtu dan Ahad mulai Januari 2025.
Perubahan yang mendapat perkenan dan restu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, serta pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) itu menamatkan tempoh 11 tahun pelaksanaan cuti hujung minggu pada Jumaat-Sabtu di Johor, sejak 1 Januari 2014.
Serentak perubahan itu, pelanggan dan pemilik premis perniagaan lelaki yang beragama Islam di Johor diwajibkan meninggalkan urusan perniagaan atau menutup sementara premis ketika waktu solat Jumaat.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, berkata ia bagi membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab menunaikan solat Jumaat di masjid berdekatan.
Bagaimanapun beliau berkata kelonggaran diberikan kepada pelanggan, pemilik atau pekerja wanita Islam untuk terus menjalankan urusan perniagaan di premis masing-masing.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg