Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Tragedi helikopter TLDM terhempas harus jadi pengajaran elak dari berulang

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

MALAYSIA

Tragedi helikopter TLDM terhempas harus jadi pengajaran elak dari berulang

NOTA DARI KL
Apr 27, 2024 | 01:21 PM



Berita tragedi malang dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, hingga mengorbankan 10 pegawai dan anggotanya merenggut hati seluruh rakyat Malaysia.

Jika yang tiada kaitan persaudaraan atau pertalian darah pun terkesan dengan nahas menyayat hati itu, apatah lagi waris dan ahli keluarga mangsa. Berlaku dalam tempoh dua minggu Syawal, tiada kata dapat menggambarkan kesedihan dialami semua pihak yang kehilangan.

Ada ibu bapa yang kehilangan anak sebagai tunggak keluarga, ada anak kehilangan ibu bapa sebagai tempat bergantung, malah tidak kurang mereka yang kehilangan rakan sekerja yang disenangi.

Insiden pada 9.32 pagi, 23 April lalu, yang melibatkan Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan Fennec TLDM itu turut menarik perhatian dunia dengan kebanyakan portal media antarabangsa melaporkan kejadian dengan terperinci.

Helikopter HOM-AW139 terhempas di balapan Stadium TLDM Lumut, manakala Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut, selepas kededuanya bertembung di udara.

Video kejadian malang itu yang tular di media sosial turut dikongsi pelbagai platform media sosial di pelbagai negara termasuklah Reuters, Al-Jazeera, AP, AFP, CNN, South China Morning Post, BBC, NDTV World dan The Sun Britain.


Kejadian helikopter Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhempas bukanlah kali pertama berlaku, namun ini adalah antara tragedi terbesar seumpamanya membabitkan kehilangan 10 nyawa.

Berdasarkan laporan Berita Harian Malaysia, kejadian terburuk membabitkan nahas jentera udara yang pernah berlaku sebelum ini ialah tragedi membabitkan Helikopter jenis Sikorsky S-61A-4 (Nuri) milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas di Gunung Gerah, di sempadan Kelantan-Perak, mengakibatkan 21 maut.


Pada 19 Mac 1997 pula, dua helikopter jenis sama terhempas di Sipitang, Sabah, mengorbankan 11 nyawa. Sebuah lagi helikopter Nuri juga terhempas di Genting Sempah, Pahang, menyebabkan enam maut pada 13 Julai 2007.

Antara nahas helikopter lain yang turut membekas dalam ingatan ramai membabitkan pesawat jenis Eurocopter AS365 yang terhempas di Semenyih, Selangor. Dalam kejadian pada 4 April 2015 itu enam maut termasuk Ahli Parlimen (AP) Rompin yang juga mantan menteri, Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis.

Pada 2 Mac 1997, Helikopter Agusta A109E terhempas di Kuala Lipis, Pahang, mengorbankan tiga orang termasuk Pengerusi DRB-Hicom Malaysia, Allayarham Tan Sri Yahya Ahmad, dan isteri yang turut menggemparkan Malaysia.

AP Sungai Besar, Allahyarhamah Noriah Kasnon, dan AP Kuala Kangsar, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad, turut tersenarai sebagai antara enam mangsa nahas tragedi helikopter jenis Eurocopter AS350 yang terhempas di Batang Lupar, Sarawak pada 5 Mei 2016.

Pastinya pelbagai pihak mengharapkan dengan senarai nahas helikopter ini terutama yang membabitkan anggota, pegawai dan aset ATM wajar dijadikan pengajaran, dengan usaha menambahbaik kelemahan yang boleh merisikokan nyawa perlu segera dilakukan.

Respons Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, atas kesediaan untuk Kementerian Pertahanan meneliti keperluan melihat semula prosedur operasi standard (SOP) khususnya bagi persembahan formasi penerbangan raptai lintas hormat susulan insiden pelanggaran udara membabitkan dua helikopter TLDM itu, adalah langkah terbaik untuk mengelak kejadian sama berulang pada masa depan.

Bagaimanapun sebarang perubahan dan penambahbaikan tentunya akan ditentukan selepas pihaknya menerima laporan penuh siasatan nahas itu daripada Lembaga Siasatan yang ditubuhkan susulan tragedi itu.

Berdasarkan perkongsian Ketua Unit Penerbangan Mencari dan Menyelamat, Institut Teknologi Penerbangan UniKL, Profesor Madya Mejar Dr Mohd Harridon Suffian, dalam setiap lintas formasi penerbangan, ketepatan masa dan trajektori (pergerakan di ruang udara atau angkasa) adalah dua perkara utama yang perlu dititkberatkan.

“Selalunya kru penerbangan adalah yang amat terlatih dengan latihan berjam-jam lamanya untuk melakukan formasi tersebut. Kalau lari sedikit masa dan trajektori itu boleh merisikokan berlakunya pertembungan.

“Elemen itu adalah antara unsur siasatan kepada punca berlakunya tragedi malang itu, selain faktor lain seperti masalah teknikal dan sebagainya... Sebab kalau kita buat sesuatu lintasan formasi, altitudnya, rotational (penggiliran) pada sesuatu paksi kena selari dan jitu antara satu sama lain untuk elak perlanggaran,” katanya dalam temubual bersama Astro Awani.


Apa pun, tragedi menyayat hati ini juga adalah ketentuan Ilahi. Apa yang penting ialah kebajikan waris dan keluarga mangsa yang ditinggalkan terutama bagi anak mereka yang masih menuntut di sekolah dan universiti.

Keprihatinan kerajaan Malaysia menyalurkan bantuan awal RM10,000 ($2,845) kepada setiap keluarga mangsa diharap dapat membantu meringankan bebanan mereka untuk meneruskan kehidupan, selain pembiayaan pendidikan yang diberi percuma dalam usaha memastikan mereka mempunyai jaminan masa depan.

Salam takziah buat seluruh waris dan keluarga mangsa serta warga TLDM yang menghadapi kehilangan besar ini. Semoga cekal menghadapi ujian kehilangan ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >