Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Amerika punya peranan penting pasti dunia terus makmur, stabil

PM Wong gesa Amerika, Jepun, India tingkat kerjasama dengan Asean dalam transformasi digital, tenaga hijau dan sebagainya
Oct 27, 2025 | 11:13 AM
PM Wong, Trump, Amerika
Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong (kiri), bergambar bersama Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump (lima dari kiri), dan pemimpin Asean lain di Sidang Kemuncak Asean-Amerika Syarikat yang diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 26 Oktober. - Foto EPA

Amerika Syarikat memainkan peranan penting dalam menjaga keamanan, kestabilan dan kemakmuran dunia, termasuk di negara Asean dan Presiden Donald Trump telah menunjukkan kepimpinan dan komitmennya terhadap usaha tersebut, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Berucap di Sidang Kemuncak Asean-Amerika Syarikat pada 26 Oktober di Kuala Lumpur, Malaysia, Encik Wong memuji Encik Trump atas kejayaannya mencapai Pelan Damai antara Kemboja dengan Thailand, serta menjamin keamanan “untuk konflik dahsyat di Gaza dan Timur Tengah”.

Beliau turut mengalu-alukan “perhatian peribadi” Encik Trump untuk memerangi jenayah rentas sempadan, penipuan dalam talian dan dadah.

“Tuan Presiden, seperti yang anda sedia maklum, ini adalah satu bidang di mana Singapura mengambil pendekatan yang sangat tegas.

“Ia adalah bidang di mana kita mempunyai keyakinan yang sama dan kami menghargai sokongan berterusan anda agar kita terus tegas terhadap dadah,” kata Encik Wong.

Semasa ucapannya, Encik Wong turut berkata keadaan kestabilan dan keselamatan yang membolehkan Asean berkembang dan makmur, juga membolehkan rakyat dan perniagaan Amerika meraih manfaat daripada pertumbuhan di rantau ini.

Beliau menekankan bagaimana negara di rantau ini membeli eksport Amerika dari semua 50 negeri Amerika – daripada jagung hinggalah pesawat Boeing – serta peralatan ketenteraan.

“Hubungan pelaburan dan perdagangan Amerika dengan rantau ini menyokong lebih 600,000 pekerjaan Amerika yang baik.

“Asean, dengan jumlah penduduk hampir 700 juta, merupakan pasaran yang semakin berkembang untuk barangan dan perkhidmatan Amerika,” kata Encik Wong.

Menjelang akhir ucapannya, Encik Wong berkata Asean dan Amerika akan meraikan 50 tahun hubungan pada 2027, tahun yang sama Singapura akan berkhidmat sebagai Pengerusi Asean.

Sehubungan itu, Encik Wong mengalu-alukan kedatangan Encik Trump untuk kembali ke Singapura dan meneruskan hubungan rapat antara Singapura dengan Amerika.

Dalam pada itu, semasa berucap di Sidang Kemuncak Asean-Jepun, Encik Wong turut mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri wanita pertama dan terbaru Jepun, Cik Sanae Takaichi, yang baru sahaja dilantik bagi jawatannya pada 21 Oktober.

Menurut Encik Wong, Singapura mengalu-alukan peranan aktif Jepun untuk memajukan transformasi digital Asean dan sokongannya untuk peralihan tenaga hijau Asean.

“Jepun boleh memainkan peranan dalam hal ini melalui Dana Integrasi Jepun-Asean, serta Inisiatif untuk Integrasi Asean.

“Dengan bekerjasama, kita dapat merapatkan jurang pembangunan di rantau ini dan memangkin pertumbuhan dan pembangunan serantau selanjutnya,” kata Encik Wong.

Dalam ucapannya di Sidang Kemuncak Asean-India pula, yang dihadiri secara maya oleh Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, Encik Wong menggesa Asean dan India agar berusaha ke arah kesimpulan yang tepat pada masanya dan substantif bagi Kajian Semula Perjanjian Perdagangan Barangan Asean-India (Aitiga).

Beliau menggesa negara anggota supaya menghubungkan kepakaran India dalam kuasa solar dan hidrogen dengan permintaan Asean yang semakin meningkat untuk tenaga bersih sedang blok tersebut membina Grid Kuasa Asean (APG).

Encik Wong menyeru agar Asean berusaha membina hubungan langsung Air India dengan negara anggota untuk mempromosikan hubungan antara rakyat dengan rakyat dengan lebih baik dan menggalakkan lebih banyak projek pertukaran pelajar dan penyelidikan.

“Terdapat banyak perkara yang boleh kita lakukan bersama, dan kami mengalu-alukan 2026 sebagai Tahun Kerjasama Maritim Asean-India, sebagai satu lagi dorongan untuk kita memperkukuhkan kerjasama kita.

“Dengan bekerjasama rapat dalam bidang-bidang ini dan seterusnya, saya yakin Asean dan India dapat merealisasikan potensi besar perkongsian kita, dan menjamin masa depan yang lebih cerah untuk rakyat kita,” tambah Encik Wong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg