Tujuh sekolah di Kulai ditutup sementara susulan asap kebakaran kilang getah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tujuh sekolah di Kulai ditutup sementara susulan asap kebakaran kilang getah

Feb 27, 2026 | 1:37 PM

Tujuh sekolah di Kulai ditutup sementara susulan asap kebakaran kilang getah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Kulai, asap, kebakaran, kilang getah
Kebakaran berpunca dari premis kilang berlesen di Sengkang, Kulai. - Foto FACEBOOK MOHD JAFNI MD SHUKOR

Tujuh sekolah di kawasan Sengkang, Kulai diarahkan tutup sementara berikutan asap dan bau dari kebakaran sebuah kilang memproses getah di zon perindustrian berdekatan menjejaskan persekitaran.

Keputusan itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Encik Aznan Tamin, dibuat oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kulai selepas penilaian mendapati keadaan semasa berpotensi membahayakan kesihatan warga sekolah.

Sekolah yang terlibat ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sengkang, SJKC Kulai Besar, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Kulai, SK Taman Kota Kulai 2, SMK Taman Kota Kulai, SMK Taman Putri, dan Sekolah Agama Taman Kota Kulai.

Sepanjang penutupan, sekolah-sekolah diwajibkan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut garis panduan yang ditetapkan.

“Keutamaan kita adalah keselamatan dan kesihatan anak-anak murid serta guru. Semua pihak perlu mematuhi arahan serta nasihat semasa daripada PKD,” katanya dalam satu kenyataan pada 26 Februari.

SJKC Sengkang mempunyai 153 murid dan 16 guru, manakala SJKC Kulai Besar mempunyai 1,345 murid dan 71 guru.

SK Taman Kota Kulai pula membabitkan 1,191 murid serta 77 guru, diikuti SK Taman Kota Kulai 2 dengan 1,210 murid dan 82 guru.

Di peringkat menengah, SMK Taman Kota Kulai mempunyai 1,020 murid dan 71 guru, manakala SMK Taman Putri melibatkan 1,128 murid dan 91 guru..

Sebelum ini, SJKC Sengkang dan SJKC Kulai Besar telah diarahkan tutup terlebih dahulu selepas pemantauan mendapati asap dan bau pembakaran masih berlegar di kawasan sekolah.

Penutupan sekolah disarankan oleh PKD demi mengelak risiko kesihatan kepada murid, guru, dan kakitangan sekolah jika sesi persekolahan diteruskan.

Kerajaan negeri memandang serius kebakaran di premis kilang berlesen itu. Kilang tersebut diluluskan pada 18 Ogos 2021, terletak dalam zon industri mengikut Rancangan Tempatan, dan memiliki Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) bertarikh 26 September 2018.

Jabatan Pendidikan Negeri Johor akan terus bekerjasama erat dengan PKD dan agensi berkaitan untuk memantau situasi dari semasa ke semasa.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebar maklumat palsu atau membuat spekulasi tentang kejadian ini.

“Sebarang perkembangan rasmi akan dimaklumkan melalui saluran yang sah bagi memastikan kesejahteraan warga sekolah sentiasa terjamin,” tegasnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg